TERDAPAT 904 pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat tengah hari ini berbanding 924 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan.
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 850 pesakit disahkan positif Covid-19 sementara 54 orang lagi disyaki dan sedang disiasat.
Sementara itu, 492 pesakit, meliputi 380 kes positif dan 112 kes disyaki, memerlukan alat bantuan pernafasan.
Hari ini negara melaporkan 11,889 kes baharu, di mana 14 merupakan kes import.
Jumlah kes yang sudah sembuh mengatasi jumlah kes baharu apabila Malaysia melaporkan 15,891 orang telah sembuh dari koronavirus.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih kepada 2,070,715 sementara beban ditanggung negara kini sebanyak 2,257,584, setakat 12.00 tengah hari ini.
Sebahagian besar jangkitan hari ini atau 11,710 berada dalam kategori tidak bergejala dan bergejala ringan, sementara 179 kes lagi berada dalam Kategori 3, 4 dan 5.
Dr Noor Hisham turut melaporkan 14 kluster baharu hari ini, menjadikan kluster aktif di Malaysia kini sebanyak 1,068. – 1 Oktober, 2021.
Komen