Australia buka sempadan 'dalam beberapa minggu'


Australia akan membuka semula sempadannya bulan depan selepas 18 bulan warganegara dilarang ke luar negara tanpa kebenaran.  – Gambar EPA, 1 Oktober, 2021.

AUSTRALIA akan membuka semula sempadannya bulan depan selepas 18 bulan warganegara dilarang ke luar negara tanpa kebenaran, kata perdana menteri negara berkenaan.

Scott Morrison berkata, warga Australia yang diberi vaksin akan dibenarkan pulang dan ke luar negara “dalam beberapa minggu” apabila sasaran 80% vaksinasi dicapai.

Pada 20 Mac tahun lalu, Australia memperkenalkan beberapa sekatan sempadan paling sukar di dunia sebagai tindak balas terhadap wabak koronavirus.

Keluarga berpisah di seluruh benua, dianggarkan 30,000 warganegara terkandas di luar negara dan warga asing berada di negara ini tidak dapat berjumpa rakan dan saudara mara mereka.

Lebih 100,000 permohonan untuk memasuki atau meninggalkan negara itu ditolak dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, menurut data Jabatan Dalam  Negeri.

Morrison turut mengumumkan bahawa penduduk yang diberi vaksin hanya perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari manakala mereka yang tidak divaksin perlu dikuarantin 14 hari wajib di hotel.

Waktu yang tepat untuk pembukaan semula sempadan akan bergantung kepada 80% kadar vaksinasi di Australia dan mendapat persetujuan politik tempatan.

New South Wales yang paling ramai penduduk kini merekodkan 64% penduduk berusia lebih 16 tahun sudah divaksin sepenuhnya dan ini menunjukkan ia akan mencapai 70 dan 80% sasaran bulan ini.

Tetapi kebanyakan negeri Australia - terutama Australia Barat dan Queensland - masih belum mencatatkan jangkitan komuniti yang meluas dan sedang meneruskan strategi “Covid-zero” dan tetap ditutup ke bahagian lain di negara ini. – AFP, 1 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen