SRI Lanka hari ini menarik semula larangan sekatan penutupan yang berkuatkuasa hampir enam minggu bagi membendung penyebaran koronavirus tetapi mengekalkan larangan keluar rumah pada waktu malam serta perhimpunan awam dan pesta.
Kematian akibat Covid-19 meningkat kepada lebih 250 orang dengan 4,000 jangkitan baharu selepas Sri Lanka meraikan sambutan Tahun Baharu tradisional Sinhala dan Tamil pada pertengahan April, tetapi jumlah kes sejak itu makin berkurangan.
Kementerian Kesihatan hari ini menggesa syarikat untuk menggalakkan kakitangan bekerja dari rumah tetapi belum ada keputusan untuk membuka semula sekolah yang ditutup sejak Mac tahun lalu.
“Sangat penting untuk mengekalkan kemajuan yang dicapai bagi mengekang jangkitan Covid-19 dan jumlah kematian setiap hari,” kata Menteri Kesihatan Kehelya Rambukwella.
Angka rasmi menunjukkan hampir 13,000 orang meninggal dunia akibat virus itu, dengan lebih setengah juta jangkitan, tetapi pakar sektor kesihatan berkata jumlah sebenar dapat dianggarkan kira-kira dua kali ganda lebih banyak.
Kelonggaran sekatan itu dibuat apabila kerajaan secara agresif menjalankan program vaksinasi dan kini 56% daripada 21 juta penduduk sudah disuntik vaksin sepenuhnya.
Di samping enam jam perintah berkurung di waktu malam, kementerian kesihatan berkata bahawa perjalanan antara wilayah akan kekal dilarang.
Jumlah mereka yang menghadiri majlis perkahwinan dan pengebumian akan dihadkan maksimum 10 hingga 15 oktober.
Kebenaran diberikan untuk acara sukan tanpa kehadiran penonton. – AFP, 1 Oktober, 2021.
Komen