Kejayaan MoU bergantung pada kemampuan kerajaan tunai janji, kata Guan Eng 


Ragananthini Vethasalam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PH sedia mengetepikan perbezaan politik bagi memfokuskan untuk menyelamatkan negara nyawa dan sumber pencarian rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2021.

KEJAYAAN atau kegagalan Memorandum Persefahaman (MoU) bipartisan bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk melaksanakan janji mengikut apa yang dipersetujui, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sebagai contoh, suntikan fiskal langsung RM45 bilion untuk ekonomi bagi menyelamatkan perniagaan dan rakyat yang terjejas oleh pandemik Covid-19, kata ahli Parlimen Bagan.

Lim berkata pemimpin Pakatan Harapan telah mengadakan perbincangan secara mendalam bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz berhubung suntikan fiskal dan langkah lain bagi menyelesaikan kemelesetan ekonomi pada siri Konsultasi Bajet 2020 semalam.

Menurutnya ia adalah kluasa utama bagi MoU untuk Pembaharuan dan Kestabilan antara kerajaan dan pembangkang yang dimeterai di Parlimen pada 13 September.

“PH bertekad bahawa rakyat secara langsung akan mendapat keuntungan dari pelaksanaan MOU, khususnya Pelan Pemulihan Covid-19 Nasional untuk memenangkan pertempuran melawan Covid-19, dan Pelan Pemulihan Ekonomi RM45 bilion disertai dengan pengabaian pembayaran faedah untuk tiga bulan bagi moratorium pinjaman bank untuk 50% penduduk Malaysia yang termiskin,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang melaksanakan langkah-langkah ini adalah kejayaan pertama bagi orang-orang yang mendapat manfaat daripada MOU ini,” tambahnya.

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata PH sedia menyokong undang-undang yang diperlukan dengan syarat ada jaminan bahawa pemberian langsung akan diberikan dengan cepat kepada kumpulan sasar yang memerlukan.

“Cadangan Kementerian Kewangan untuk meningkatkan Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion menjadi RM110 bilion, dan meningkatkan had statutori hutang negara dari 60% menjadi 65% dari KDNK akan membantu masyarakat dan perniagaan terutamanya PKS, semasa pembukaan semula ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin PH juga perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa faedah ini merupakan bahagian penting dari MOU yang diperjuangkan oleh pembangkang untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, yang sebelumnya ditolak oleh Putrajaya tetapi kini diterima sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan.

“Negara ini mencatatkan kerugian ekonomi lebih dari RM500 bilion sejak perintah kawalan pergerakan pertama tahun lalu. Yang paling teruk adalah sektor pelancongan dengan kerugian RM130 bilion pada tahun 2020 dan kerugian yang lebih tinggi dijangka tahun ini.

“Kerajaan harus mempertimbangkan pengecualian kadar faedah atau pengurangan sekurang-kurangnya 2% untuk industri ini.”

Lim juga berkata statistik yang dikeluarkan kerajaan baru-baru ini, yang menunjukkan sebanyak 20% atau sekitar 580,000 isi rumah dari kumpulan M40 telah beralih ke had pendapatan di bawah kumpulan B40.

Angka miskin tegar di Malaysia juga meningkat kepada 8.4% pada tahun 2020.

Lim berkata ini mendorong PH untuk mengetepikan perbezaan politik bagi memfokuskan untuk menyelamatkan negara nyawa dan sumber pencarian rakyat. – 1 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen