HANYA 2% penduduk, atau kurang, sudah divaksinasi sepenuhnya terhadap koronavirus di sebahagian negara di Afrika, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.
Sebanyak 15 dari 54 negara di benua itu berjaya memvaksinasi sekurang-kurangnya 10% penduduk mereka, mencapai sasaran global bagi 30 September, yang ditetapkan pada Mei oleh Majlis Kesihatan Sedunia, badan penentu dasar kesihatan tertinggi di dunia.
“Data terbaru menunjukkan jumlah sederhana tetapi masih jauh untuk mencapai sasaran WHO bagi memvaksinasi sepenuhnya 40% penduduk pada akhir tahun ini,” kata Richard Mihigo, penyelaras vaksinasi WHO di Afrika.
Penghantaran vaksin semakin meningkat tetapi pelan penghantaran yang samar masih menjadi penghalang utama dihadapi Afrika, kata Mihigo.
Sebanyak 23 juta dos vaksin tiba di Afrika pada September, meningkat 10 kali ganda berbanding Jun.
Separuh daripada 52 negara Afrika yang menerima vaksin Covid-19 sudah memberi vaksin sepenuhnya kepada hanya 2% atau kurang daripada populasi mereka, kata WHO.
Kebanyakan negara Afrika yang berjaya mencapai sasaran 10% mempunyai populasi yang agak kecil.
Kepulauan Mauritius dan Seychelles berjaya memvaksinasi sepenuhnya lebih 60% populasi mereka, menurut data WHO.
Di Maghribi, 48% penduduk menerima dua suntikan Covid-19 sementara angka di atas 20% di Tunisia, Komoro dan Tanjung Verde.
“Kesemua negara ini menikmati bekalan vaksin yang mencukupi, dan banyak yang dapat mengakses dos daripada sumber yang berasingan selain yang dihantar melalui kemudahan Covax global,” kata WHO.
Angka kes Covid-19 di Afrika turun 35% kepada lebih kurang 74,000 dalam seminggu hingga 26 September.
Hampir 1,800 kematian dilaporkan di 34 negara Afrika dalam tempoh yang sama.
“Walaupun jumlah kes menurun, kita semua harus tetap waspada dan terus mematuhi langkah kesihatan dan keselamatan awam yang terbukti kita tahu menyelamatkan nyawa, seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan secara berkala dan penjarakan fizikal, terutama ketika kadar vaksinasi masih rendah,” Mihigo memberitahu sidang media secara maya. – AFP, 1 Oktober, 2021.
Komen