DOKTOR masih tidak tahu mengenai prosedur untuk mengeluarkan surat kepada individu yang perlu pengecualian vaksinasi Covid-19 kerana masalah kesihatan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight situasi ini menyebabkan individu terbabit sukar untuk elak vaksinasi.
Doktor berkata mereka ada membaca artikel mengenai keperluan surat untuk individu terbabit namun masih tidak menerima sebarang memo daripada Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.
“Ya, kita hanya tahu daripada artikel berita yang mana Kementerian Kesihatan menyatakan kumpulan individu ini perlukan surat penjelasan daripada doktor mengapa mereka tidak boleh divaksin.
“Namun kami tidak boleh keluarkan begitu sahaja surat kepada mereka kerana tiada memo mengenai isu ini,” kata seorang doktor dari Hospital Tunku Jaafar (HTJ) di Seremban.
Doktor berkenaan yang enggan identitinya dikenali kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media pertamanya 1 September lalu berkata aplikasi MySejahtera akan mempiunyai ciri yang menunjukkan sebab kesihatan bagi mereka yang tidak dapat divaksin atau tidak melengkapkan vaksinasi.
Beliau juga berkata individu ini memerlukan surat daripada doktor bagi mengesahkan mereka masih tidak boleh divaksin.
“Selagi mereka ada pengesahan daripada doktor yang mereka tidak boleh lengkapkan vaksinasi atas faktor kesihatan, kita akan wujudkan ciri dalam MySejahtera untuk menunjukkannya,” kata Khairy yang menambah kementeriannya juga akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai untuk mereka.
MySejahtera mengemaskini platformnya awal bulan ini, yang mana kini ia memaparkan tahap risiko dan status vaksinasi individu di paparan check-in.
Bagaimanapun tiada ciri baharu sebagaimana yang dinyatakan.
Doktor daripada HTJ menambah, pihak hospital mendapati ada pesakit yang tidak dapat divaksin atas sebab kesihatan dan memohon surat pengesahan.
Namun permohonan mereka ditolak kerana tiada arahan rasmi daripada kementerian.
Doktor juga mengatakan bahawa surat seperti itu sangat penting dan tidak mahu ia jatuh ke tangan yang salah.
“Surat ini adalah perisytiharan penting dan kita tidak mahu golongan anti-vaksin mengambil kesempatan dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi.
“Jadi, kita perlu pastikan individu berkenaan benar-benar tidak boleh divaksin,” tambah doktor berkenaan.
Inidividu ini mahukan surat pengecualian daripada suntikan vaksin agar mereka boleh meneruskan urusan harian sebagaimana yang dinikmati mereka yang sudah lengkapkan vaksinasi.
Mereka yang telah lengkap vaksinasi boleh menjalankan aktiviti seperti menunaikan ibadah di masjid dan surau, antara lain.
Minggu lalu, pengarah Majlis Keselamatan Nasional (MKN) Zamri Misman mengatakan pihak berkuasa tempatan boleh menguatkuasakan peraturan yang mensyaratkan hanya mereka yang lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan masuk ke pasar dan kedai runcit walaupun majlis tersebut belum menguatkuasakan garis panduan untuk perkhidmatan penting.
Zamri berkata pemilik premis seperti majlis tempatan dan pengusaha kedai mempunyai hak untuk membuat peraturan bagi kepentingan kawalan jangkitan, dan menambah mereka yang mempunyai masalah perlu membawa surat mereka.
Seorang pesakit, yang tidak dapat meneruskan dos kedua vaksin kerana kesan sampingan setelah melakukan imunisasi (AEFI), berkata itu bukan pilihannya untuk tidak melengkapkan dua dos vaksinasi.
“Bukannya saya menolak vaksinasi atau saya anti-vaksin.
“Saya mengalami kesan sampingan yang teruk selepas dos pertama dan kemudian diminta untuk tidak melakukan suntikan kedua kerana keadaan kesihatan saya.
“Tetapi kerana ini, saya terperangkap di tengah-tengah dan diperlakukan seperti anti-vaksin. Saya rasa kementerian harus segera menangani masalah ini,” kata pesakit itu, yang enggan identitinya didedahkan. – 3 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen