KES baharu Covid-19 di Malaysia naik sedikit buat hari ketiga berturut-turut dengan 12,735 jangkitan baharu setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Pada Isnin, negara melaporkan 10,959 kes, paling terendah sejak 12 Julai, namun semalam angka itu naik kepada 12,434.
Jumlah terkini hari ini menjadikan beban ditanggung negara sebanyak 2,245,695 kes.
Sarawak kekal negeri yang mencatat kes terbanyak, hari ini dengan 2,487, menjadikannya satu-satunya negeri dengan lebih 2,000 jangkitan.

Selangor menjadi negeri kedua tertinggi dengan 1,940 kes baharu, diikuti Johor dengan 1,241 jangkitan.
Jangkitan di Selangor lebih tinggi sejak negeri tersebut melaporkan 979 kes pada Isnin, angka terendah sejak 4 Mei.
Kedah dan Kelantan merupakan negeri lain yang mencatat kes empat digit hari ini, masing-masing melaporkan 1,033 dan 1,232 kes.
Lembah Klang, merangkumi Selangor, Kuala Lumpur (258) dan Putrajaya (28) menyumbang 2,226 jangkitan dari jumlah kes hari ini.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Perak dengan 913, Sabah (993), Pulau Pinang (763), Pahang (697), Terengganu (726), Melaka (194), Negeri Sembilan (132), Perlis (97) dan Labuan (1).
Awal hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 19,912,566 atau 85.1% populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi sepenuhnya terhadap Covid-19.
Seramai 20,093,678 atau 61.5% dari populasi umum dan 85.7% penduduk dewasa di Malaysia, telah diberi vaksin sepenuhnya terhadap Covid-19. – 30 September, 2021.
Komen