PENJAWAT awam di Gaza yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 tidak akan dibayar gaji apabila mereka cuti sakit akibat jangkitan virus itu, kata Hamas.
Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza sejak 2007 mengeluarkan peraturan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi dua juta penduduk Palestin.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata walaupun mereka menerima 768,000 dos vaksin Covid-19, namun setakat ini hanya 140,000 penduduk yang lengkap divaksinasi.
“Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pekerja yang tidak mematuhi peraturan vaksinasi,” kata Ketua Pejabat Media Hamas Salama Maruf semalam.
Peraturan sama ke atas penjawat awam yang menolak vaksin Covid-19 juga telah dilaksanakan beberapa minggu lalu di Tebing Barat yang ditadbir Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh berkata kebanyakan kes baharu Covid-19 di Tebing Barat membabitkan individu yang tidak divaksin.
Di Tebing Barat, yang di bawah pendudukan tentera Israel sejak 1967, lebih 234,000 kes Covid-19 direkodkan setakat ini dan hampir 2,700 orang meninggal dunia akibat virus itu.
Sehingga kini sebanyak 168,000 kes Covid-19 direkodkan di Gaza dengan 1,375 kematian. – AFP, 30 September, 2021.
Komen