KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 208 kematian akibat Covid-19 setakat 11.59 malam tadi, dengan 64 daripadanya berlaku di luar hospital (brought in dead atau BID).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 kini meningkat kepada 26,143 kes, menurut KKM.
Menerusi data yang dikongsikan di portal GitHub juga menunjukkan hanya empat kematian harian sebenar dilaporkan semalam, sementara 204 lagi adalah kes tertunggak atau backlog.
Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa mingu lalu.
Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.
Data juga menunjukkan satu daripada 208 kes kematian membabitkan individu yang lengkap divaksin, manakala satu lagi baru menerima satu dos suntikan. Kedua-dua kes dilaporkan di Johor.
Selangor merekodkan angka tertinggi kematian dengan 76 kes, dengan 28 daripadanya adalah BID.
Ini diikuti Johor yang mencatat 30 kes kematian, dengan sembilan adalah BID.
__full.jpg)
Data yang dikongsikan di laman web CovidNow pula menunjukkan Malaysia mencatat putara 5.6 kematian per 100,000 penduduk. Pulau Pinang mencatat purata tertinggi iaitu 14.0.
Purata kes kematian bagi tempoh tujuh hari adalah 88 kes.
Setakat malam tadi juga sebanyak 169,718 kes aktif dilaporkan, termasuk 978 ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan 565 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 30 September, 2021.
Komen