MULAI 1 Oktober, tidak ada negeri yang akan berada di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara apabila sekatan pergerakan dilonggarkan di beberapa negeri, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Kedah yang kini merupakan satu-satunya negeri yang berada dalam Fasa 1 akan beralih ke Fasa 2 mulai Sabtu ini.
Melaka dan Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan beralih dari Fasa 2 ke Fasa 3.
Ismail Sabri, yang mengetuai Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 berkata, keputusan ini dibuat selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Antara faktor yang dipertimbangkan adalah R-naught di seluruh negara iaitu 0.88 dan trend penggunaan ICU yang menurun.
“Berdasarkan tren R-naught yang masih di bawah 1.0, kerajaan yakin trend keseluruhan jangkitan baharu Covid-19 juga menurun selagi orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun jumlah kes harian boleh menjadi tidak konsisten.
“Berdasarkan ini, dengan Kedah beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2, tidak akan ada lagi negeri di Fasa 1,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.
Perdana menteri menambah bahawa kadar vaksinasi yang ketika ini mencapai 85.1% daripada populasi dewasa setakat semalam juga merupakan faktor peralihan negeri-negeri berkenaan ke fasa berikutnya.
Selain itu, golongan remaja juga sudah memulakan program vaksinasi mereka dan kerajaan berharap sebahagian besar remaja diberi vaksin sebelum sekolah dibuka secara berperingkat bulan depan.
Dengan perlindungan vaksin yang mencapai 90% populasi dewasa tidak lama lagi, kerajaan akan menepati janji untuk membenarkan perjalanan rentas negeri, ulang Ismail Sabri.
“Kerajaan juga akan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka kembali seperti biasa,” katanya. – 29 September, 2021.
Komen