Rusia catat kematian tertinggi Covid-19 untuk hari ke-2


Setakat semalam kurang 30% penduduk di Rusia sudah divaksin sepenuhnya. Negara itu mencatatkan kematian Covid-19 tertinggi untuk hari kedua berturut-turut disebabkan kadar vaksinasi yang perlahan. – Gambar EPA, 29 September, 2021.

RUSIA semalam mencatatkan jumlah kematian koronavirus tertinggi untuk hari kedua berturut-turut susulan jangkitan meningkat disebabkan oleh varian Delta dan kadar vaksinasi yang perlahan.

Kerajaan melaporkan 857 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir dan 22,430 kes baharu.

Angka baharu menjadikan jumlah kematian Covid-19 mencecah 206,388 kes yang mana ia merupakan jumlah tertinggi dicatatkan di Eropah.

Pihak berkuasa didakwa meremehkan penularan wabak berkenaan.

Agensi statistik Rosstat melaporkan pada akhir Ogos bahawa Rusia sudah menyaksikan lebih 350,000 kematian.

Negara kelima yang paling teruk dilanda di dunia dengan lebih tujuh juta jangkitan, Rusia menyaksikan kes meningkat sejak bulan lalu selepas program vaksinasi terhenti.

Moscow, yang merupakan pusat wabak berdepan lonjakan kes sejak seminggu lalu dengan pihak berkuasa memberi amaran peningkatan kemasukan ke hospital. 

Moscow dan beberapa wilayah lain mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 pada musim panas tetapi program vaksinasi terhenti sejak itu.

Beberapa vaksin Rusia telah disediakan selama berbulan-bulan tetapi pihak berkuasa berusaha untuk memberikan suntikan kepada populasi yang masih ragu-ragu terhadap vaksin Covid-19.

Semalam, kurang 30% penduduk sudah divaksin sepenuhnya, menurut laman web Gogov.

Presiden Vladimir Putin pada awal bulan ini berkata, beliau menjalani kuarantin kendiri selepas berpuluh-puluh kes dikesan berdekatan kawasannya. – AFP, 29 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen