JABATAN Peguam Negara (AGC) sudah menerima kertas siasatan berkait kehilangan barang kes melibatkan AS$6.4 juta (RM24 juta) dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan, AGC berkata pihaknya sudah menerima kertas siasatan semalam dari SPRM.
“AGC akan mengkaji perkara itu dengan teliti sebelum memutuskan sama ada akan meneruskan tuduhan atau memberi arahan lebih lanjut kepada penyiasat,” katanya.
Minggu lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan ke atas kes yang dikaitkan dengan bekas ketua Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia, Hasanah Abdul Hamid.
Hasanah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi April lalu daripada tuduhan pecah amanah wang yang melibatkan dana kerajaan berjumlah RM50.4 juta.
Badan anti rasuah itu juga berkata bahawa pihaknya merampas aset bernilai RM1.6 juta yang dikaitkan dengan salah seorang pegawai kanannya yang berdepan tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
Menurut Utusan Malaysia, agensi anti rasuah merampas sebuah unit kediaman di Selangor, dua motosikal Ducati, sebuah kereta Mercedes Benz dan Honda Type R.
Rumah dan kenderaan tersebut dipercayai milik pegawai SPRM berusia 40 tahun dengan pangkat penguasaha kanan gred 44.
Menurut kenyataan SPRM, polis Bukit Aman mengesahkan bahawa siasatan ke atas seorang pegawai kanan SPRM yang disyaki terlibat dalam kehilangan barangan kes melibatkan AS$6 juta (RM25 juta) dikaitkan dengan kes melibatkan senjata api dan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, pegawai kanan itu ditangkap pada Selasa kerana didakwa memiliki dadah berbahaya, senjata api dan peluru.
Beliau berkata, individu itu disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) dan 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Penyiasat menemui 400 peluru 9mm, tiga kelongsong peluru bersaiz 9mm serta sepucuk pistol tiruan.
Pemeriksaan lanjut di rumah pegawai itu turut menemui sepucuk senapang jenis “pump gun” jenama Benelli Armi selain 200 butir peluru jenis 9mm, alat pembuka senjata serta senaskah buku manual penggunaan senjata. – 29 September, 2021.
Komen