KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 240 kematian akibat Covid-19 setakat 11.59 malam tadi, dengan 71 daripadanya berlaku di luar hospital (brought in dead atau BID).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 kini meningkat kepada 25,935 kes, menurut KKM.
Menerusi data yang dikongsikan di portal GitHub juga menunjukkan hanya lima kematian harian sebenar dilaporkan semalam. Sementara 235 lagi adalah kes tertunggak atau backlog.
Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa mingu lalu.
Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.
Data juga menunjukkan dua daripada 240 kes kematian membabitkan individu yang lengkap divaksin, manakala dua lagi baru menerima satu dos suntikan.
Johor merekodkan angka tertinggi kematian dengan 47 kes, dengan lima daripadanya adalah BID.
Ini diikuti Selangor yang mencatat 41 kes, dengan 24 adalah BID.

Data yang dikongsikan di laman web CovidNow pula menujukkan Malaysia mencatat putara 5.6 kematian per 100,000 penduduk. Pulau Pinang mencatat purata tertinggi iaitu 14.0.
Setakat malam tadi juga sebanyak 174,492 kes aktif dilaporkan, termasuk 985 ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan 563 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 29 September, 2021.
Komen