Kes sembuh Covid-19 lepasi kes jangkitan baharu buat hari ke-12 


Ravin Palanisamy

Sebanyak 11,332 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan setakat tengah hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 September, 2021.

MALAYSIA merekodkan 14,160 kes sembuh berbanding 11,332 kes jangkitan baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini bermakna kes sembuh melepasi kes jangkitan baharu buat hari ke-12 berturut-turut. 

Jumlah keseluruhan kes sembuh seluruh negara kini 2,020,099.

Dr Noor Hisham berkata daripada 11,332 kes jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini, 11,085 individu atau 97.8% adalah di kategori 1 dan 2 yang tidak menunjukan gejala atau bergejala ringan.

Hanya 247 kes atau  2.2% adalah di tahap serius iaitu kategori 3, 4 dan 5.

Ketua pengarah kesihatan berkata 986 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 848 adalah kes disahkan koronavirus.

Baki 138 kes adalah kes yang disyaki dan kes masih di bawah siasatan.

Beliau berkata 574 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan yang mana 369 adalah disahkan Covid-19 manakala 205 adalah kes yang disyaki atau berkemungkinan dan kes masih di bawah siasatan.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata kementerian turut mengesan 15 kluster baharu Covid-19 hari ini yang menyumbang 300 kes.

Katanya sembilan daripada kluster berkenaan berkait dengan penularan komuniti (182 kes) dan enam lagi adalah tempat kerja (118 kes).

Kelantan merekodkan kluster tertinggi iaitu empat yang mana tiga daripadanya adalah penularan komuniti dan satu dari tempat kerja.

Negeri lain yang turut merekodkan kluster baharu adalah Pahang dan Selangor (masing-masing 3), Johor (2), Negeri Sembilan, Terengganu, Perak (masing-masing 1).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan klsuter di negara ini kepada  5,447 yang mana 1,151 adalah aktif dan 4,296 ditamatkan. – 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen