KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berkata 95% kes kematian ketika tiba di hospital (BID) dikenal pasti sebagai kes Covid-19 selepas bedah siasat dijalankan.
“Ini bermakna kebanyakannya tidak tahu mereka sudah dijangkiti virus itu, atau tidak sempat ke klinik atau hospital untuk menjalani ujian saringan dan mendapatkan rawatan,” kata kementerian dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
“Hanya 5% daripada kes itu disahkan Covid-19 sebelum meninggal dunia di rumah.”
KKM berkata 69.1% atau 150 daripada 217 kes BID (1 Mei – 22 Ogos, 2021) dikendalikan pihak berkuasa.
“Sebanyak 73% atau 110 kes BID tidak pergi pun ke pusat penilaian Covid-19. Hanya 27% (40 kes) daripada mangsa meninggal dunia ketika masih di bawah pemantauan pusat berkenaan,” katanya.
Kerajaan menjawab soalan Mohd Salim Sharif (Jempol-BN) berkenaan sebab kes BID yang tinggi.
KKM berkata sebab utama pesakit meninggal dunia ketika berada pada peringkat pemantauan pusat penilaian ialah kelewatan mendapatkan temu janji di situ.
“Kelewatan disebabkan pusat berkenaan tidak dapat mengesahkan kes selepas notifikasi akibat kekurangan kakitangan.
“Sebab lain ialah pusat tidak dapat menghubungi pesakit kerana maklumat yang salah atau tidak lengkap, tiada kekosongan katil di hospital, pesakit enggan dimasukkan ke wad dan keadaan kesihatan pesakit merosot dengan cepat,” kata KKM.
Susulan itu, KKM memperkemaskan proses kerja di pusat penilaian untuk membolehkan mereka memantau pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Pesakit berisiko tinggi akan dirujuk ke hospital,” katanya.
Kementerian juga mengaktifkan pusat maya dan kini membekalkan alat oksimeter kepada pesakit yang dikuarantin di rumah. – 28 September, 2021.
Komen