BEKAS perdana menteri Najib Razak mahu kerajaan memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas negara pulih daripada pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata GST akan dapat membantu Malaysia mencapai matlamat rancangan pembangunan dan ekonomi lima tahun sehingga 2025 atau Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), yang dibentangkan di Parlimen semalam.
“Kita perlu melaksanakan semula sistem GST secepat mungkin apabila negara pulih daripada Covid-19 sekiranya ingin mencapai matlamat mengurangkan jurang pendapatan, matlamat menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan,” katanya semasa membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat, hari ini.
GST yang diperkenalkan oleh pentadbiran Najib dan berkuat kuasa mulai 1 April, 2015 dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
Najib berkata pemansuhan GST oleh PH berpunca daripada hasutan yang bermotifkan politik sedangkan sistem percukaian itu membantu ekonomi negara.
“Selain memberi ruang untuk menurunkan cukai korporat dan cukai peribadi, sistem GST yang dipadankan dengan pakej bantuan rakyat sebenarnya memainkan peranan yang amat penting untuk mengurangkan jurang pendapatan.
“Ini berlawanan dengan propaganda yang menyebabkan sebahagian rakyat termakan hasutan kononnya GST lebih memangsakan pendapatan rendah dan menyebabkan kenaikan harga barang,” katanya.
Najib berpendapat GST menyumbang kepada fiskal kerajaan, sementara lebihan pendapatan hasil kerajaan itu dipulangkan kepada rakyat terutama sekali golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
.jpg)
Manfaat cukai GST jugalah yang membolehkan pentadbirannya menaikkan gaji penjawat awam pada 2018, katanya.
Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Bebas) sebelum itu bangun membangkitkan isu ketirisan luar biasa dan indeks persepsi rasuah negara yang menjunam teruk semasa pelaksanaan GST.
Rebat GST yang sepatutnya dipulangkan khusus kepada peniaga juga lewat sehingga memberi kesan kepada kadar inflasi dan kos barang meningkat, katanya.
Mengulas pandangan itu, Najib berkata ketirisan yang paling teruk berlaku sebelum pelaksanaan GST melibatkan ekonomi gelap sehingga RM300 bilion setahun, apabila mereka yang terlibat terlepas daripada membayar sebarang cukai.
Menurut Najib, selepas pelaksanaan GST ketirisan itu dapat dikuncupkan 10% daripada 25% kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Mengulas isu kenaikan harga barang pula, Najib berkata dakwaan itu terbukti tidak benar kerana setelah tiga tahun dimansuhkan, harga barangan asas naik lebih ketara setelah sistem cukai perkhidmatan dan jualan (SST) menggantikan GST.
Pentadbiran PH memperkenalkan semula SST menggantikan GST bermula 1 September 2018.
Sementara itu, Najib turut mencadangkan pelbagai program yang pernah dilaksanakan semasa pentadbirannya dihidupkan semula seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), Transformasi Luar Bandar (RTC), Klinik 1Malaysia, dan Kedai Rakyat 1Malaysia
“Program ini perlu diperkenalkan dan ditambah baik dengan melanjutkan waktu operasi dan diperluaskan.
“Kalau nak dijenamakan semula pun boleh. Sebagai contoh Klinik 1Malaysia boleh diperkenalkan sebagai Klinik Keluarga Malaysia,” katanya.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan (Pontian-BN) juga sebelum ini membangkitkan cadangan sama.
Dalam pada itu, Najib mencadangkan pelan RMK12 disemak semula selepas setahun bagi memastikan unjuran tersebut selari dengan senario semasa negara. – 28 September, 2021.
Komen