NEGARA melaporkan 11,332 jangkitan baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, naik sedikit berbanding 10,959 kes pada semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Angka terbaharu ini juga menjadikan beban ditanggung negara kini sebanyak 2,220,526.
Buat hari kelima berturut-turut, Sarawak kekal negeri tertinggi dengan 2,358 kes, diikuti Johor dengan 1,319 jangkitan.
Setelah mencatat kes tiga angka semalam, hari ini Selangor kembali catat kes empat angka dengan 1,231 jangkitan. Negeri ini juga hari ini kembali berada dalam senarai tiga negeri teratas.
Lembah Klang, termasuk Selangor, Kuala Lumpur (240) dan Putrajaya (19) melaporkan sebanyak 1,490 kes hari ini.

Selain Sarawak, Johor dan Selangor, Kelantan satu-satunya negeri lain yang melaporkan kes empat angka dengan 1,088 jangkitan baharu.
Negeri lain yang melaporkan jangkitan baharu ialah Sabah (965), Pulau Pinang (895), Kedah (819), Perak (678), Pahang (677), Terengganu (629), Melaka (303) dan Perlis (19).
Negeri Sembilan dan Labuan, yang berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, masing-masing melaporkan 89 dan tiga kes.
Bagi kes keseluruhan mengikut negeri, Selangor paling tinggi dengan 674,360 kes, diikuti Sarawak (204,170) dan Sabah (195,980).
Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata 323,335 dos vaksin telah diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di mana 172,388 penerima suntikan pertama dan 150,947 penerima dos kedua.
Sebanyak 42,699,197 dos vaksin telah diberikan sejak program ini dilancarkan pada 24 Februari.
Menurut data di laman web CovidNow, 19.7 juta atau 84.4% penduduk dewasa telah lengkap diinokulasi setakat semalam.
Sementara itu, Malaysia turut melaporkan 30,886 remaja atau 1% daripada populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 1,038,594 dari mereka telah mendapat suntikan pertama. – 28 September, 2021.
Komen