KKM lapor 258 kematian Covid-19


Ravin Palanisamy

Jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 kini meningkat kepada 25,695 kes. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 258 kematian akibat Covid-19 setakat tengah malam tadi, dengan 75 daripadanya berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 kini meningkat kepada 25,695 kes, menurut KKM.

Menerusi data yang dikongsikan di portal GitHub juga menunjukkan hanya empat kematian dilaporkan semalam. Sementara 254 lagi adalah kes tertunggak yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa mingu lalu.

Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.

Data juga menunjukkan dua daripada 258 kes kematian membabitkan individu yang lengkap divaksin, dan kedua-duanya dilaporkan di Pahang.

Selangor merekodkan angka kematian tertinggi iaitu 56 kes, diikuti Johor (53); Kedah (46); Kuala Lumpur (25); Pulau Pinang (21); Sarawak (19); Sabah (12); Kelantan, Perak dan Pahang masing-masing lima; Melaka dan Terengganu masing-masing empat; Perlis (2) dan Negeri Sembilan (1). Tiada kes kematian direkodkan di Labuan dan Putrajaya.

Daripada empat kes baharu semalam, tiga dilaporkan di Pahang, satu di Johor. 

Manakala bagi kes BID pula, 24 dilaporkan di Kuala Lumpur.

Negeri lain melaporkan kes BID adalah Selangor dengan 25 kes; Johor (7); Sabah (5);Pulau Pinang (4); Terengganu dan Kedah masing-masing tiga; Sarawak (2) serta Melaka dan Perak masing-masing satu kes.

Data yang dikongsikan di laman web CovidNow pula menujukkan Malaysia mencatat putara kematian per 100,000 penduduk, dengan Pulau Pinang mencatat purata tertinggi iaitu 14.4.

Setakat malam tadi juga sebanyak 177,560 kes aktif dilaporkan, termasuk 980 ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan 579 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.  – 28 September, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen