Ekonomi Malaysia terjejas tanpa pekerja asing, kata persatuan majikan


Noel Achariam

Usaha pemulihan ekonomi Malaysia akan terjejas jika Putrajaya tidak membenarkan pengambilan pekerja asing kerana rata-rata penduduk tempatan tidak mahu melakukan pekerjaan berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.

USAHA pemulihan ekonomi Malaysia akan terjejas jika Putrajaya tidak membenarkan pengambilan pekerja asing, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Mereka berkata, sektor-sektor tertentu sangat bergantung terhadap pekerja asing kerana penduduk tempatan tidak mahu melakukan pekerjaan terutamanya dalam sektor berbahaya, kotor dan sukar (3D).

Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman mahu kerajaan mempertimbangkan semula keputusan awalnya untuk tidak membenarkan sektor berkenaan mengambil pekerja asing.

“Ketika majikan mahu memulakan perniagaan, mereka kecewa kerana penduduk tempatan masih mengelak melakukan pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja asing.

“Ini walaupun pada hakikatnya lebih 500,000 rakyat Malaysia kini menganggur,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, majikan sudah berusaha melakukan apa sahaja bagi mendapatkan pekerja yang diperlukan termasuk program penentukuran semula tetapi tidak berhasil.

“Kami memahami bahawa pekerja asing adalah isu sensitif.

“Namun kita harus menerima bahawa tidak semua industri dapat menggunakan teknologi IR 4.0 kerana proses pengeluaran seperti perabot dan pembuatan,” katanya.

Hussain berkata, pekerja migran hanya digunakan untuk pekerjaan kolar biru kerana majika menyedari bahawa peranan menyelia harus diberikan kepada rakyat Malaysia.

“Kita tidak boleh mencampurkan masalah pengangguran tempatan dengan sektor pekerjaan kolar biru ini terutama pekerjaan berbahaya, kotor dan sukar (3D).

“Kita mesti terima kenyataan ini dan mengatasinya dengan segera demi ekonomi kita,” katanya.

Dia juga berharap agar Menteri Sumber Manusia M Saravanan melihat keadaan yang berlaku.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Saravanan kerana baru-baru ini terlibat dengan wakil pihak berkepentingan dalam masalah kekurangan pekerja asing.

“Kami optimis bahawa pasaran pekerjaan Malaysia akan bertambah baik dengan pembukaan perniagaan yang seterusnya akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan syarikat multinasional besar,” katanya.

Hari ini Menteri berkenaan, M. Saravanan berkata beliau akan membawa permintaan pihak industri berkenaan untuk mengambil pekerja asing kepada Kabinet untuk diteliti dan dipertimbang supaya mendapat satu penyelesaian terbaik berkaitan masalah itu. 

“Memang pelan asal kerajaan, peluang ini untuk pekerja tempatan…(tetapi) orang tempatan sudah tidak ambil pekerjaan khususnya dalam 3D (Dirty, Dangerous, Difficult - kotor, bahaya dan sukar) itu. Masalah mereka (pihak industri) hadapi hari ini adalah setelah pekerjaan ditawarkan kepada pekerja tempatan, masih tidak ada yang nak ambil pekerjaan-pekerjaan itu. 

“Sekarang kita berada dalam keadaan sama ada kita bagi mereka (mengambil pekerja asing) ataupun (pihak industri terpaksa) gulung tikar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Keperluan Penggajian Pekerja Asing di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) hari ini.  – 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen