MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan agar Putrajaya mewujudkan majlis pemulihan di semua negeri bagi membolehkan pendekatan pemulihan ekonomi dari peringkat bawah ke atas dapat dilaksanakan.
Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata pihak berkuasa peringkat negeri boleh memastikan rancangan dan inisiatif dilaksanakan dikaji semula di peringkat daerah.
“Ini seiring dengan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat. Kita tidak boleh memikirkan (apa yang berlaku) di peringkat nasional sahaja. Kita juga harus melihat negeri dan daerah.
“Pendekatan dari bawah ke atas akan memberi kita gambaran lebih jelas mengenai langkah yang perlu diambil untuk memastikan pemulihan negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini.
Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Kabinetnya untuk mendapatkan persetujuan.
Katanya, isu pemulihan negara mesti melalui pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat.
“Kita bukan hanya mengelola di peringkat nasional tanpa mempertimbangkan kekuatan dan peranan yang dapat disumbangkan oleh kerajaan negeri dan daerah,” katanya.
Beliau berkata pendekatan dari bawah ke atas dan sebaliknya akan memberi gambaran lebih tepat kepada kerajaan mengenai langkah yang perlu diambil untuk menguruskan pemulihan negara daripada Covid-19. – 27 September, 2021.
Komen