SERAMAI 10,317 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis sejak wabak Covid-19 melanda pada Mac 2020 hingga Julai 2021, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN).
Dalam tempoh sama, kira-kira 1,246 perniagaan ditutup sepenuhnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ismail dalam jawapan bertulis Parlimen.
Ismail menjawab soalan Lim Lip Eng (Kepong-DAP) yang meminta jumlah syarikat yang muflis dan pekerja yang diberhentikan sejak tahun lalu.
Lim juga bertanya apakah bantuan ekonomi kerajaan khusus untuk pengusaha yang menutup operasi perniagaan dan hilang pekerjaan akibat tempoh PKP yang berpanjangan.
Ismail berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) tidak mempunyai rekod jumlah pekerja yang diberhentikan dalam tempoh PKP.
Beliau berkata, MID hanya bertindak menangani kes-kes muflis individu dan pentadbiran syarikat yang mendapat perintah penggulungan dari mahkamah.
“Berdasarkan input dari Kementerian Kewangan, kerajaan tidak memberikan bantuan khusus kepada peniaga yang menutup sepenuhnya operasi perniagaan mereka.
“Sebaliknya (kerajaan) mengambil pendekatan memberikan bantuan dan insentif untuk membantu kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau menambah bahawa dalam hal ini, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan melalui pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan yang diumumkan dengan fokus membantu perniagaan dan melindungi masyarakat.
Antaranya, bagi pengusaha perniagaan mereka menerima geran khas, program subsidi upah, pengecualian bayaran levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), moratorium pembayaran semula pinjaman dan skim kredit mikro.
Bagi mereka yang diberhentikan, kerajaan menawarkan elon pencarian pekerjaan, bantuan kehilangan pendapatan, program peningkatan dan kemahiran, pelbagai bantuan wang kerajaan, moratorium pembayaran pinjaman, pengeluaran KWSP dan bantuan khas Covid-19. – 27 September, 2021.
Komen