LEBIH kurang empat jam hujan berterusan telah mengakibatkan beberapa jalan utama dilanda banjir, selain banyak kenderaan terkandas.
Menurut laman Facebook Astro Radio Traffic yang memetik laporan pengguna Waze, banjir kilat di Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) mengakibatkan kedua-dua arah sesak teruk selama lebih sejam.
Bukan itu sahaja, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari Bukit Rimau menghala Seafield juga mengalami nasib yang sama seperti di LDP.
Sementara itu, banjir kilat di Persiaran Surian, tidak jauh dari The Curve juga menjadi punca kepada kesesakan itu.
Selain itu, dua arah di Bandar Sri Damansara turut mengalami nasib sama.
Media sosial kecoh dengan pelbagai gambar yang menunjukkan kesesakan dan banjir kilat.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir di seluruh Malaysia dijangka bermula dari petang dan berterusan sehingga Jumaat ini.
Minggu lalu, ketua pengarahnya Alui Bahari berkata Malaysia telah mencatat suhu serendah 21 darjah celsius.
Katanya, Malaysia sedang mengalami musim monsun timur laut di mana hujan lebat adalah perkara biasa.

Komen