10,959 kes baharu Covid-19, paling rendah sejak 12 Julai


Ravin Palanisamy

Malaysia hari ini melaporkan kes jangkitan baharu paling rendah sejak 12 Julai iaitu dengan 10,959 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.

NEGARA hari ni mencatatkan jangkitan baharu Covid-19 paling rendah sejak 12 Julai dengan 10,959 kes setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada 12 Julai, Malaysia melaporkan 8,574 kes.

Buat pertama kalinya sejak 4 Mei, Selangor melaporkan kes tiga angka dengan 979 jangkitan baharu hari ini, malah ia juga sudah tidak berada dalam kalangan tiga negeri dengan kes harian paling tinggi.

Sarawak terus menduduki menjadi negeri paling tinggi kes buat hari keempat berturut-turut dengan 2,723 jangkitan, diikuti Johor dengan 1,226 kes.

Cuma dua buah negeri ini sahaja yang melaporkan kes empat angka.

Sementara itu Kelantan di negeri ketiga paling tinggi dengan 983 kes.

Lembah Klang, yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur (176) dan Putrajaya (18) menyumbang 1,173 kes atau 10.9% daripada keseluruhan kes hari ini.

Negeri lain yang melaporkan jangkitan baharu ialah Sabah dengan 751 kes, Pulau Pinang (793), Pahang (739), Perak (713), Terengganu (691), Kedah (660), Melaka (346), Negeri Sembilan (110), Perlis (51).

Labuan satu-satunya wilayah yang melaporkan sifar kes.

Secara keseluruhan, beban ditanggung negara kini berjumlah 2,209,194.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata seramai 19,633,681 juta orang atau 60.1% populasi umum negara telah divaksinasi sepenuhnya terhadap Covid-19 setakat semalam.

Sebanyak 269,465 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), di mana 117,196 orang penerima suntikan pertama manakala 152,269 melengkapkan dua dos vaksin.

Sebanyak 42,375,862 dos vaksin telah diberikan sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari. – 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen