Khalid Samad terangkan kenapa beliau sokong projek selepas didedah portal berita


Ravin Palanisamy

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad hari ini menjelaskan tandatangan beliau terhadap projek pindah tanah pada 2019 itu kerana beranggapan ia selaras dengan wawasan kementeriannya untuk menyediakan sejuta buah rumah mampu milik di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.

SELEPAS dituduh menolong pemaju hartanah swasta mendapatkan surat kelulusan bagi projek pada 2019, bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad akhirnya menjelaskan tentang perkara tersebut.

Khalid berkata beliau turunkan tandatangannya pada surat permohonan itu dengan tanggapan projek tersebut selaras dengan wawasan kementeriannya ketika itu untuk menyediakan sejuta buah rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

“Saya mencadangkan agar permohonan ini diluluskan kerana ia selaras dengan wawasan Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu iaitu untuk menghasilkan satu juta rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

“Ini kerana, rumah mampu milik diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah dan menengah di Kuala Lumpur kerana harga rumah biasa adalah mahal dan tidak mampu dimiliki oleh golongan ini yang ramai bekerja di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini menanggapi laporan di portal berita.

Pada 24 September, portal berita MalaysiaNow menerbitkan sebuah artikel mendakwa ahli parlimen Shah Alam itu telah memberikan surat sokongan walaupun bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hari ini, portal tersebut mendedahkan surat yang mendakwa Khalid secara peribadi menyokong tawaran pemaju untuk projek itu.

Portal tersebut mendakwa syarikat itu telah meminta pertolongan Khalid setelah permohonannya kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, yang pada awalnya diluluskan, telah dibatalkan.

Dikatakan syarikat itu telah mengutus surat kepada Khalid lebih kurang enam bulan selepas kerajaan PH terbentuk.

Bagaimanapun ahli Parlimen Amanah itu menjelaskan walaupun beliau merupakan menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, persetujuan itu bukan di bawah bidang kuasanya tetapi Ketua Setiausaha Negara.

“Selepas menerima surat pertama dari pemohon, saya telah mengarahkan setiausaha politik saya, saudara Azli Yusof untuk merujuk perkara ini kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengetahui perancangan penggunaan tanah berkenaan sekiranya ada.

“Hampir setahun kemudian, selepas saya menerima surat kedua, barulah saya memohon Exco Tanah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mempertimbangkan kelulusan permohonan ini selepas mendapat gambaran yang jelas mengenai status tanah ini dari PTG dan DBKL.

“Saya sendiri tidak ada dalam Exco Tanah Kuala Lumpur dan Exco ini bukan di bawah kuasa saya. Oleh itu wajar saya memberikan pandangan mengenai cadangan pembangunan ini secara bertulis.

“Exco yang akan mempertimbangkan permohonan ini juga bukan di bawah bidang kuasa saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana ia terletak terus di bawah KSN. Dan tidak mungkin seorang Menteri mengarah KSN yang lapor diri pada YAB Perdana Menteri,” katanya.

Khalid berkata, tidak ada catatannya dalam surat itu yang membawa maksud atau memaksa seseorang menyetujui projek itu tetapi hanyalah bagi mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Perkataan yang lebih sesuai digunakan mungkin adalah ‘mohon dipertimbangkan’ atau ‘diharap pihak tuan meneliti perkara ini’ namun ayat ‘harap dapat diluluskan kerana..’ tidak juga merupakan arahan. Ianya berbeza dengan ‘sila luluskan’.

“Namun, saya pertegaskan di sini, permintaan saya agar tanah ini diluluskan adalah untuk keperluan memenuhi wawasan mendapatkan satu juta rumah mampu milik di Kuala Lumpur. Tanpa tanah, di manakah rumah ini hendak dibina.

“Oleh itu, permohonan tetap perlu melalui proses biasa termasuk syarat² yang ingin dikenakan serta harga yang perlu dibayar untuknya. Saya hanya menyokong permohonan ini atas sebab projek yang ingin dilaksanakan,” katanya. – 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen