PANEL Suhakam meminta supaya dua saksi kepada penculikan aktivis Amri Che Mat yang hilang tampil ke depan dan memberi kenyataan mengenai kejadian itu.
Sesi pendengaran siasatan Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menyoal saksi ketiga iaitu Ketua PKR Perlis Faisol Abdul Rahman yang memberitahu mengenali saksi bernama Syed Amri.
Dalam respon segeranya, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bertanya kepada Faisol jika Syed boleh dikesan dan dibawa ke siasatan.
Pegawai-pegawai Suhakam juga berkata mereka telah cuba menghubungi saksi tetapi gagal.
Mah kemudian bertanya jika Faisol boleh menghubungi Syed dan memintanya datang ke siasatan untuk memberi keterangan.
“Kami mahu beritahu mereka yang ianya selamat untuk datang dan beri keterangan,” katanya.
Menurut Faisol, Syed takut untuk tampil ke depan kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.
Terdahulu, Faisol telah memberitahu inkuiri yang pasukannya telah cuba menyiasat kehilangan Amri dua hari selepas kejadian.
Katanya, pasukannya telah memaklumkan telah menjumpai seorang saksi kejadian penculikan Amri.
“Saksi memberitahu nampak tiga Toyota Hilux dan sebuah motosikal menghadang kereta Amri.
“Saya dapat maklumat dari pasukan saya yang cuba menyiasat kehilangan Amri pada 26 November.
“Mereka telah berjumpa seorang saksi bernama Syed Amri. Dia memberitahu pasukan saya yang dia nampak Amri diculik.”
Faisol memberitahu, pasukannya kemudian membawa Syed ke balai polis untuk memberi keterangan.
“Saya akan cuba hubungi saksi dan mintanya datang ke inkuiri,” katanya.
Mah kemudian meminta Faisol menghubungi seorang lagi saksi iaitu Saiful Hafdzan yang turut mendakwa menyaksikan penculikan itu.
Beliau juga meminta pemerhati polis mengesan saksi-saksi tersebut.
Amri diculik 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang.
Dalam laporan polisnya, isteri Amri, Norhayati, berkata terdapat kereta dan motosikal yang tidak dikenali diletakkan berhampiran rumah mereka pada hari aktivis itu hilang.
Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh dan Amri, serta kehilangan dua yang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016, adalah kes kehilangan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. – 24 Januari, 2018.
Komen