Vaksin Covid-19 kurangkan gejala serius, kata bekas pesakit


Noel Achariam

KKM menegaskan suntikan vaksin bukanlah jaminan seseorang menjadi kebal atau tidak dijangkiti virus Covid-19, namun mengurangkan gejala serius dan kematian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.

VAKSIN bukanlah jaminan seseorang itu menjadi kebal atau tidak dijangkiti Covid-19, namun ia mengurangkan gejala serius, kata bekas pesakit yang mendapat jangkitan selepas menerima suntikan.

Berkongsi pengalaman kepada The Malaysian Insight, mereka berkata pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga jarak fizikal masih perlu terus diamalkan walaupun selepas lengkap divaksin.

Eksekutif bank, yang hanya mahu dikenali sebagai Mathan, 39, masih bingung bagaimana beliau mendapat selepas menerima dua dos vaksin Covid-19.

Menurut Mathan, bapanya yang berusia 72 tahun yang pertama sekali tunjuk gejala jangkitan dalam keluarga mereka.

“Ayah saya alami demam dan berasa lesu. Selepas tiada perubahan masuk hari ketiga, kami sekeluarga ambil ujian RT-PCR ( Polimerase-Transkripsi Terbalik).

“Kami empat beranak disahkan positif Covid-19 walaupun sudah lengkap divaksin. Kami diarahkan supaya kuarantin di rumah,” katanya.

Beliau masih tertanya-tanya bagaimana, di mana atau dari siapa mereka mendapat jangkitan.

“Ayah saya hanya duduk di rumah. Saya sahaja yang keluar beli makanan.

“Saya maklum kita masih boleh dijangkiti walaupun selepas divaksin. Tetapi saya yakin vaksin sangat membantu mengurangkan gejala, paling tidak pun mengelakkan risiko jangkitan lebih serius,” ujarnya.

Selepas 10 hari, Mathan sekeluarga sembuh sepenuhnya daripada Covid-19.

Mereka bagaimanapun masih mematuhi SOP, mengelakkan aktiviti sosial dan terus bekerja dari rumah.

“Kami masih belum berani makan di restoran, dan masih menghadkan aktiviti sosial. Kami juga sudah beli kit ujian kendiri, sebagai persediaan kalau-kalau ada antara kami alami gejala,” kata Mathan.

Kementerian Kesihatan (KKM) telah berulang kali menegaskan suntikan vaksin bukanlah jaminan seseorang menjadi kebal atau tidak dijangkiti virus Covid-19.

Vaksin juga bukanlah ubat, sebaliknya berperanan untuk menguatkan daya ketahanan tubuh badan untuk melawan penyakit, mengelakkan pesakit menjadi kritikal atau meninggal dunia.

Berdasarkan data KKM, hanya 1.30 kes jangkitan walaupun selepas divaksinasi dalam setiap 100 orang.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media Khamis lalu berkata, hanya 0.009% atau 90 daripada sejuta individu yang divaksin meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ini menunjukkan vaksin Covid-19 berkesan dalam melawan pandemik, katanya.

Bagi Tiana, 30, chef itu mendapat jangkitan Covid-19 dari ayahnya yang positif, selepas 3 hari mereka bertemu.

“Kadang-kadang ada perkara berlaku di luar kawalan kita walaupun patuh pada SOP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya bersyukur ahli keluarga saya semua sudah divaksin dan kami hanya mengalami gejala ringan.

“Saya fikir keadaannya sudah tentu lebih teruk kalau kami belum divaksin.”

Wanita yang meminta namanya dirahsiakan itu berkata beliau melakukan ujian menggunakan kit ujian kendiri sementara menunggu hasil ujian RT-PCR selepas menjadi kontak rapat ayahnya yang disahkan positif Covid-19.

“Kit ujian kendiri tunjuk dua garisan, bermakna saya positif. Jadi saya terus ambil langkah berjaga-jaga.”

Tiana berkata beliau memang sedia maklum vaksin Covid-19 tidak menjadikan seseorang kebal dari virus.

“Saya tak mahu dijangkiti sekali lagi. Saya cukup tertekan, sakit dan terkurung selama 10 hari. Emosi saya terganggu kerana saya juga bimbangkan kesihatan orang lain yang mendapat jangkitan dari saya,” katanya.

Seorang lagi bekas pesakit Covid-19 , yang hanya mahu dikenali sebagai Shan, berkata beliau dijangkiti virus itu bulan lepas, yang kemudian disebarkan pula kepada bapanya yang berusia 63 tahun.

Eksekutif pemasaran itu berkata beliau tidak menolak mendapat jangkitan dari rakan sepejabat.

Shan, 35, bagaimanapun bersyukur kerana suntikan vaksin menyelamatkan nyawa mereka walaupun positif Covid-19. Beliau dan bapanya disahkan negatif selepas 10 hari menjalani kuarantin.

“Sekarang saya lebih berhari-hati dengan sekeliling saya sebab kita tak akan tahu apa yang akan berlaku.” – 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen