Najib janji tiada kenaikan GST


Bede Hong

Perdana Menteri Najib Razak turut menegaskan kadar GST di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia ia telah membawa "kestabilan" kepada negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Januari, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini  berjanji tidak akan ada kenaikan dalam cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketika bercakap pada sambutan Hari Kastam Sedunia ke-36 di Putrajaya hari ini, Najib bagaimanapun menegaskan kadar GST di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia ia telah membawa “kestabilan” kepada negara.

“Untuk pengetahuan semua, kadar GST kita adalah antara terendah di dunia. Di sini saya nak umumkan bahawa tiada cadangan untuk menaikkan kadar GST,” kata perdana menteri.

Beliau turut mengumumkan bahawa pada 2017 Jabatan Kastam telah mengutip sebanyak RM58.8 bilion, yang mana sekurang-kurangnya RM 44 bilion datang dari GST.

Pada tahun lepas juga, Jabatan Kastam telah merampas RM1 bilion dari operasi antipenyeludupan.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pengarah Kastam Subromaniam Tholasy, Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani dan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa.

Najib juga mempertahankan cukai 6% yang diperkenalkan pada pertengahan 2015 adalah untuk menampung kekurangan hasil kerajaan dan berkata ia telah membolehkan Putrajaya membuat pembayaran khas kepada penjawat awam awal bulan ini.

“Melalui GST kita peroleh RM1.6 bilion untuk membuat pembayaran khas tersebut. Ia kerana dasar ini membolehkan kita peroleh hasil yang mencukupi,” kata Najib, sambil menambah GST membantu membiayai proram-program demi manfaat rakyat Malaysia.

Menurut Najib, agensi penarafan kredit Moody’s baru-baru ini telah memberi rating “A” kepada Malaysia kerana negara ini stabil selepas pengenalan GST.

“Kalau tidak ada GST, kita tidak yakin dapat buat bayaran khas kepada penjawat awam.

“(Kalau tidak ada GST) Mana tahu kita terjerumus dalam kegawatan,” kata Najib. Isi rumah berpendapatan rendah (B40) juga katanya telah menyaksikan pengagihan pendapatn yang tinggi.

“Ini menunukkan keputusan (memperkenalkan GST) adalah keputusan terbaik, kerana negara-negara lain pun ikut, termasuk baru-baru ini Arab Saudi.” – 24 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen