KETUA Menteri Lim Guan Eng berkata beliau tidak mahu melayan kontroversi yang ditimbulkan berhubung projek terowong dasar laut dan lebuh raya Pulau Pinang.
Beliau berkata pemimpin Barisan Nasional (BN) menimbulkan maklumat yang tidak benar, walhal fakta itu sudah dijelaskan dan projek itu dijalankan dengan telus.
Malah kerajaan negeri juga menjalankan proses tender terbuka dengan semak dan imbang, katanya.
“Kita tidak berminat untuk terus melayan mereka. Saya rasa kita tidak berminat untuk mengulangi (penjelasan) kepada mereka yang enggan faham.
“Sekiranya mereka hadir syarahan saya, mereka pasti gagal (peperiksaan). Mereka ini mungkin alami masalah penglihatan terhad atau tidak dapat melihat,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.
Lim mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh timbalan presiden MCA Dr Wee Ka Siong kepada media berhubung projek terowong dan lebuh raya dan penglibatan syarikat China Railway Construction Corporation (CRCC).
Wee yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ini mempersoalkan peranan CRCC dalam projek berkenaan dan meminta kerajaan negeri membuktikan syarikat China itu adalah pemegang saham.
Wee kemudiannya mengakui bahawa CRCC dalah kontraktor utama projek dan bukan pemegang saham dalam Consortium Zenith Construction Sdn Bhd—syarikat yang dianugerahkan projek itu menerusi tender terbuka.
CRCC telah ditandatangani sebagai perunding kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan reka bentuk projek pada Oktober 2013.
Wee juga mendakwa memorandum persefahaman dan pengakuan komitmen tidak sah di sisi undang-undang.
Lim berkata Wee membuat kenyataan yang saling bercanggah kerana mengakui bahawa CRCC adalah kontraktor utama dan kemudian berkata MoU dan pengakuan komitmen tidak sah.
Ketua menteri itu menjelaskan, CRCC telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia bertanggungjawab untuk pembinaan projek itu.
“Bagi syarikat sebesar ini, dengan modal AS$4 bilion (RM16 bilion), mengeluarkan kenyataan seperti itu adalah komitmen yang serius. Sekiranya perjanjian yang ditandatangani untuk projek itu tidak sah, adakah CRCC akan keluarkan kenyataan?”
Lim berkata kerajaan telah menjelaskan bahawa bahawa CRCC adalah kontraktor utamanya, bukan pemegang saham; dan tiada pembayaran tunai atau pertukaran tanah telah dibuat untuk projek terowong itu.
Jelasnya, kerajaan negeri hanya membayar Konsortium Zenith dalam bentuk 3.7 ekar tanah bernilai RM208 juta untuk menyiapkan tiga kajian lebuh raya, reka bentuk dan laporan EIA (penilaian kesan alam sekitar) yang diluluskan.
Bagaimanapun, penjelasan itu tidak diendahkan Wee dan kritikan masih dilemparkan dengan fakta yang menyimpang, kata Lim.
“Ia tidak bermakna untuk dijelaskan. Ia juga menunjukkan betapa ceteknya (Wee) menjadikannya sebagai isu dan mempolitikkannya. Mereka tidak mencari penjelasan tapi mencari kesalahan, membuat sesuatu yang sia-sia.
Lim berkata walaupun Pulau Pinang telah membuat penjelasan berhubung projek tersebut, Putrajaya masih tidak menjelaskan mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd atau projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.
“Perdana menteri tidak jelaskan tentang 1MDB. Wee juga tidak jelaskan mengapa ECRL diberikan tender secara terus,” katanya.
Projek terowong dan lebuh raya itu kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – 24 Januari, 2018.

Komen