DOS penggalak vaksin Covid-19 hanya untuk kumpulan berisiko tinggi buat masa ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
“Kami hanya menggalakkan mereka yang berisiko tinggi untuk diberikan dos penggalak.
“Jika kita lihat negara lain, ia adalah kebiasaan di mana hanya warga emas dan pesakit komorbiditi serius diberikan dos penggalak,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan kerajaan Sarawak.
Menurutnya lagi negara lain masih belum memberikan dos penggalak kepada populasi awam dan kerajaan akan mengeluarkan garis panduan untuk langkah itu.
“Kita tak tolak kemungkinan bahawa mereka yang sihat dan berusia bawah 65 tahun akan diberikan dos penggalak nanti. Tetapi tumpuan kita sekarang adalah kumpulan berisiko tinggi.
“Pada masa sekarang, kita perlu lindungi mereka (kumpulan) yang paling rentan dalam masyarakat kita,” katanya.
Kata Khairy lagi, kebanyakan kes kematian dan kes jangkitan serius yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) adalah warga emas atau mereka dengan sejarah penyakit.
“Tidak ada gunanya menggunakan sumber kita untuk mereka yang mungkin tidak memerlukannya sekarang. Jadi fokus kita adalah kepada mereka yang memerlukannya sekarang,” katanya.
Sarawak akan memberikan dos penggalak kepada kumpulan berisiko tinggi bermula bulan depan, sebaik sahaja kerajaan mengeluarkan garis panduan klinikal.
“Sarawak akan menjadi negeri pertama untuk memulakan program dos penggalak kerana mereka adalah negeri pertama yang menyiapkan program vaksinasi,” katanya lagi.
Kadar vaksinasi keseluruhan populasi penduduk Sarawak sekarang adalah 64.9%, ia juga yang pertama memulakan program vaksinasi negeri. – 26 September, 2021.
Komen