PAKATAN Harapan mampu mengambil alih Johor jika saingannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya Barisan Nasional (BN), kata Politweet.
Hasil keputusan kajian bertajuk “Winning Odds for Pakatan Harapan in Johor (GE14)” yang diterbitkan hari ini menunjukkan yang PH harus menyasarkan peralihan lebih 10% undi.
Ini bermaksud yang PH boleh menang Johor sekiranya berlaku lebih 10% peralihan undi yang akan membolehkannya menang 36 daripada 59 kerusi Adun di negeri selatan itu, kata penyelidik media sosial itu.
PH Johor yang dipimpin oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga perlu menawan hati penyokong pro-BN untuk meneutralkan kesan yang dibawa PAS.
PAS, yang kini merupakan blok ketiga dalam PRU14 nanti dijangka akan bertanding di kerusi Melayu, selain bakal mewujudkan pertandingan tiga penjuru dengan PH dan BN.
Penganalisis berkata pertandingan tiga penjuru akan memberi keuntungan kepada BN.
“Satu-satunya jalan untuk PH adalah dengan memastikan komponen parti memenangi (hati) penyokong pro-BN.
“Sebagai contoh, jika PAS ambil 10% daripada undi anti-BN, Bersatu harus mengambil 10% undi pro-BN. Jika PH boleh buat sebegini, mereka akan dapat capai peralihan 10% undi,” kata Politweet.
Undi Melayu susah untuk beralih
Tambah Politweet, agak mencabar untuk memujuk pengundi Melayu bertukar arah daripada BN kepada PH.
“Dari pemerhatian kami di Johor pada 2015, Melayu yang berumur 21 hingga 30 tahun lebih cenderung menyokong Umno berbanding (Melayu) di negeri lain.”
Sehingga suku pertama tahun lalu, terdapat 1.77 juta pengundi di Johor. 235,733 daripada jumlah itu adalah pengundi baharu.
Melayu Islam merupakan majoriti pengundi terbesar dengan 54.85%, diikuti pengundi Cina 37.75% dan 6.36% pengundi India. Selebihnya adalah Bumiputera dari Sabah dan Sarawak serta etnik lain.
Di kalangan pengundi baharu, 64% adalah Melayu Islam, 29.21% Cina dan 4.9% India.

Umno paling popular di Facebook
Dalam pada itu, Politweet turut menguji bagaimana pengguna Facebook melihat Umno, PAS, PKR, dan DAP dalam bulan pertama tahun ini.
Ia mengukur minat pengguna Facebook berumur 21 tahun ke atas terhadap parti politik di Johor, dengan mengambil kira likes, perkongsian dan posting selain aktiviti lain.
Hasil daripada itu, didapati yang Umno menjadi topik perbualan besar sementara PAS dilihat hanya mempunyai pengaruh yang kecil di Johor.
Politweet mendapati 61% pengguna Facebook secara eksklusif tertarik dengan Umno; 22% terhadap Umno dan PKR; 5% terhadap Umno, PKR dan PAS; dan 2% terhadap Umno dan PAS.
Hanya 8% secara eksklusifnya tertarik dengan PKR manakala 2% tertarik dengan PAS sahaja.
Memandangkan Facebook tidak dapat merumuskan statistik untuk parti baharu seperti Bersatu dan Amanah, maka Politweet mengkaji capaian pengguna di Johor terhadap PH dan pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
“Andai kami campurkan minat terhadap Dr Mahathir dan PKR, serta ukur jurangnya, Umno masih kekal sebagai yang paling banyak dikongsi secara eksklusif di Johor,” kata Politweet.
Sementara minat eksklusif terhadap Umno sebanyak 41%, campuran minat terhadap Dr Mahathir dan PKR adalah 16%, manakala terhadap Dr Mahathir, Umno dan PKR adalah 35%.
“Daripada 460,000 pengguna di Johor yang tertarik dengan Umno, PKR sendiri sahaja mampu mencecah 30.4%, manakala campuran antara Dr Mahathir dan PKR boleh mencapai 45.7%.
“Ini menunjukkan seramai 250,000 bakal pengundi Johor di Facebook yang hanya tertarik dengan Umno.”
Bagaimanapun, Politweet berkata yang kedua BN dan PH ada masalah berkempen di Facebook kerana hanya 25.45% daripada 2.2 juta bakal pengundi Johor menunjukkan minat terhadap Umno, PKR, PAS, atau Dr Mahathir.
“Umno masih ada kelebihan pengguna (penyokong) akar umbi dan sebahagian besar wanita dalamnya.
“Ini membuatkan sukar untuk PH dan Dr Mahathir untuk menyebarkan suara mereka,” katanya.
Didapati lebih daripada 70% pengguna yang tertarik dengan PKR, PAS dan DAP di Johor terdiri dari kalangan kaum lelaki. Wanita pula menunjukkan kurangnya minat terhadap parti pembangkang.
“Umno dan Perdana Menteri Najib Razak menarik lebih banyak sokongan kaum wanita berbanding parti pembangkang dan Dr Mahathir.”

Carta kerusi PH
Bersatu akan bertanding paling banyak kerusi di Johor iaitu 18, dengan sejumlah 536,975 pengundi. 16 daripada jumlah kerusi itu adalah kawasan majoriti Melayu, manakala dua lagi kerusi adalah kawasan kerusi campur.
DAP akan bertanding sebanyak 14 kerusi (558,914 pengundi) yang mana 10 kerusi adalah majoriti Cina. Selebihnya kerusi campur.
PKR dan Amanah akan bertanding 12 kerusi dengan jumlah 308,457 dan 369,709 pengundi.
PKR mendapat 11 kerusi kawasan Melayu dan satu kerusi campur sementara kerusi Amanah semuanya bermajoritikan Melayu. – 24 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Rashmeen salleh · Ulasan