KEPUTUSAN positif daripada kit ujian RTK-Antigen dan kit ujian kendiri memadai untuk arahan kuarantin dikeluarkan serta merta bagi pesakit Covid-19 di Sarawak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata pesakit tidak perlu lagi menjalani ujian pengesahan dengan kit ujian polymerase chain reaction (RT-PCR).
“Ini bagi menguji dan mengasingkan kes positif secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Sarawak hari ini.
“Kita akan asingkan pesakit dan kontak rapat seperti ahli keluarga dan perintah pengawasan rumah akan dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata penting untuk masyarakat menjalani ujian segera sekiranya mengalami gejala Covid-19.
“Sekiranya keputusan positif, asingkan diri. Jika tidak boleh asingkan diri di rumah, sila hadir ke pusat kuarantin berisiko rendah,” katanya.
Khairy berkata ia merupakan cara terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan.
Menurutnya kesedaran masyarakat juga penting dan kerajaan juga akan meningkatkan inisiatif Pusat Penilaian Covid-19 maya di bandar-bandar di Sarawak.
Beliau juga berkata pihak berkuasa kesihatan juga akan melaporkan kepada polis jika mereka yang telah dikeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital didapati melanggar perintah berkenaan.– 26 September, 2021.
Komen