LEBIH 42 juta dos vaksin Covid-19 sudah diedarkan, tujuh bulan selepas bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) pada 24 Februari lalu.
Sejumlah 259,141 dos lagi diedarkan semalam di bawah program itu.
Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), 19.48 juta atau 83.1% populasi dewasa dan 59.7% keseluruhan populasi sudah divaksin penuh setakat semalam.
Sementara itu, 22.71 juta lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Keseluruhannya, 93.7% populasi dewasa dan 69.6% keseluruhan populasi sudah divaksin.
Lembah Klang merekodkan kadar vaksinasi tertinggi dengan 79.9% penduduknya dan 109.1% populasi dewasa sudah divaksin penuh.
Sabah merekodkan kadar vaksinasi terendah dengan kurang 60% populasi dewasanya divaksin.
Hanya 1.61 juta penduduk Sabah sudah divaksin penuh, bermaksud hanya 58.3% populasi dewasa dan 41.2% keseluruhan populasi menerima vaksin penuh.
Apabila sesebuah kawasan merekodkan kadar vaksinasi melebihi 100%, ia bermakna wujud perubahan dalam saiz populasi yang belum direkodkan Jabatan Perangkaan sejak banci penduduk terakhir dibuat, ini termasuklah jumlah penduduk tanpa dokumen pengenalan diri sah.
Sementara itu, 25.2% remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 0.9% lagi sudah divaksin penuh sejak vaksinasi kumpulan usia itu bermula pada 8 September.
Vaksin jenis Pfizer dua dos diberikan kepada remaja.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata JKJAV juga sedang berusaha menarik baki 20% populasi dewasa yang belum divaksin atau menolak vaksin. – 26 September, 2021.

Komen