Anggota Rela ditempatkan di kawasan tidak berisiko, kata Nur Jazlan


Low Han Shaun

Timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed berkata anggota Rela diberikan latihan secukupnya sebelum dihantar ke kawasan berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2018.

ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak ditempatkan di kawasan yang memberi risiko kepada mereka kata timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan presiden Warisan Shafie Apdal yang dikatakan memperkecilkan anggota sukarelawan itu. 

“Saya ingin nyatakan di sini bahawa anggota Rela tidak ditempatkan di kawasan yang memberi risiko kepada mereka. 

“Kedua, mereka tidak diletakkan di mana-mana operasi strategik, taktikal atau barisan hadapan..mereka hanya diletakkan di belakang bagi memastikan barisan hadapan selamat. 

“Ketiga, mereka diberikan latihan secukupnya dan keempat, mereka bekerjasama dengan polis bagi memastikan keamanan di Esszone,” kata Nur Jazlan pada sidang media hari ini. 

Shafie dalam satu rakaman video mempersoalkan langkah kerajaan persekutuan untuk mengerahkan anggota Rela ke Esszone di pantai timur Sabah. 

Sejak itu beberapa laporan polis dibuat terhadap Shafie dan beliau digesa menarik balik kenyataan itu. 

Tambah Nur jazlan, Shafie Apdal sendiri tahu bahawa sebanyak RM6 juta diperuntukkan kepada anggta Rela untuk menjalankan latihan. 

“Ia merupakan peruntukan tahun sebelum ini, RM3 juta sudah diberikan tahun lalu dan RM3 juta lagi akan diberikan tidak lama lagi,” katanya. – 24 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen