Ketua perangkawan perjelas kadar vaksinasi lebih 100%


Ragananthini Vethasalam

Ketua Perangkawan Malaysia Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata beberapa penerima vaksin mungkin mengambil suntikan Covid-19 mereka di negeri lain dan bukannya di mana mereka berada. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 September 2021.

LIPUTAN vaksinasi sebenar di tempat-tempat tertentu mungkin tidak melebihi 100% seperti yang ditunjukkan menerusi angka semasa berdasarkan banci penduduk sebelum ini, kata Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, beberapa penerima vaksin mungkin mengambil suntikan Covid-19 mereka di negeri lain dan bukannya di mana mereka berada.

Dr Uzir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai terdapat kawasan dan negeri tertentu memiliki kadar vaksinasi lebih 100%.

Angka yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada 23 September misalnya menunjukkan 108.3% populasi dewasa di Lembah Klang telah divaksin sepenuhnya manakala 104.4% populasi dewasa di Labuan dan 101.3% di Negeri Sembilan menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Sesetengah orang mungkin tidak mengambil vaksinasi mereka di rumah mereka (negeri),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Uzir berkata ini bermaksud peratusan keseluruhan belum melebihi 100% bagi negeri yang menunjukkan kadar vaksinasi lebih daripada 100%.

Menjelaskan angka tersebut, beliau berkata angka yang terkandung dalam data vaksinasi membabitkan populasi yang tidak dihitung dalam bancian sebelum ini sambil menambah bahawa jumlah di beberapa negeri akan dikaji.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga sedang dalam proses menyelesaikan bancian baharu.

Katanya, DOSM telah melengkapkan 80% banci 2020.

“Kami jangka dapat menyelesaikannya pada Oktober ini,” katanya.

Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin berkata beberapa penerima vaksin mungkin mengambil suntikan Covid-19 mereka di negeri lain dan bukannya di mana mereka berada. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 September 2021.

Banci 2020 yang dilancarkan pada Julai tahun lalu terpaksa ditangguhkan empat kali kerana Covid-19.

Pada 10 Julai, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Annuar Musa menarik perhatian umum berhubung kadar vaksinasi dos pertama populasi dewasa pada ketika itu telah melebihi 100%.

Beliau berkata data itu harus dikemas kini untuk mencerminkan fakta bahawa penerima tertentu mungkin telah menerima suntikan di Kuala Lumpur walaupun tinggal di luar ibu kota.

Awal bulan ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kadar vaksinasi melebihi 100% di beberapa negeri kerana warga asing yang tidak berdokumen, saiz populasi dan migrasi di luar jangkaan.

Faktor-faktor ini tidak ditunjukkan dalam statistik.

“Ada daerah dengan liputan 80%, tetapi mereka mengatakan semua orang telah diberi vaksin,” katanya.

“Jabatan Perangkaan Malaysia tidak dapat melakukan bancian tahun lalu, jadi kami tidak tahu data sebenarnya tetapi kami yakin kita mempunyai cukup bekalan vaksin untuk menutup apa yang disebut sebagai populasi luar jangka,” kata Khairy.

Berdasarkan jumlah penduduk, lebih 58% orang di Malaysia diberi vaksin sepenuhnya. – 26 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen