IBU bapa tidak perlu bimbang kesan sampingan vaksin yang diberikan kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini melalui program imunisasi Covid-19 kebangsaan (Pick) remaja.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, berkata setakat ini vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang diberikan kepada remaja tidak mempunyai kesan sampingan yang besar.
“Jangan bimbang, risiko kerana suntikan vaksin amat rendah keberangkaliannya dan kebaikan vaksin adalah jauh lebih baik daripada terkena Covid-19 malah kes itu tidak dilaporkan di negara ini.
“Kajian di luar negara ke atas golongan muda yang terkena radang otot jantung dan radang selaput luar jantung mendapati peratusnya adalah sangat rendah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir (Sabar) di Bagan Serai, Perak hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menyasarkan 60% pelajar menerima suntikan hingga November ini dan 80% sebelum akhir Disember.
Mengikut statistik, beliau berkata, jumlah pelajar di negara ini adalah seramai 2.5 juta orang dan 681,853 daripadanya menerima suntikan dos pertama manakala 108,935 melengkapkan vaksinasi mereka sejak 20 September hingga semalam.
“Ini bermakna 26.9% sudah menerima suntikan sejak dilancarkan hingga semalam dan 4.3% lengkap divaksin,” katanya.
Beliau berkata, peratusan pelajar yang mendapat suntikan mengikut negeri tertinggi adalah Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 76.7% dos pertama dan 6.4% dos kedua, Sabah 65.3% dos pertama dan 7.2% dos kedua manakala Sarawak 37.7% dos pertama dan 6.9% dos kedua.
Katanya, Perlis mencapai 33.3% dos pertama dan 4.6% dos kedua, Pahang dengan 30.7% untuk dos pertama dan 3.4% menerima dos kedua manakala Perak dengan jumlah pelajar seramai 53,770 atau 26.5% menerima suntikan dos pertama dan 7,633 orang atau 3.8% dos kedua.
Sementara itu, Noor Azmi berkata, Kementerian Kesihatan menyambut baik cadangan untuk meminta pihak MySejahtera mengaktifkan bunyi penggera secara berulang-ulang selepas lebih 30 minit mendaftar masuk bagi memberi peringatan kepada pengguna aplikasi itu untuk mendaftar keluar.
Beliau berkata, cadangan itu satu pandangan yang baik kerana ramai pengguna terlupa berbuat demikian selepas mendaftar masuk. – Bernama, 25 September, 2021.
Komen