Sekolah di negeri Fasa 4 perlu sedia sepenuhnya, kata Radzi


Radzi berkata, semua langsir atau poster yang digantung di bilik darjah atau bilik khas perlu dialihkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2021.

SEMUA sekolah di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu membuat persediaan rapi sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin, berkata antara yang perlu diberi perhatian pihak sekolah adalah sistem pengudaraan yang baik bagi mengurangkan sebarang risiko penularan jangkitan Covid-19 khususnya membabitkan varian Delta.

“Seperti mana nasihat daripada Kementerian Kesihatan dalam konteks varian Delta ini, apa yang paling penting adalah pengudaraan bukan sahaja dalam bilik darjah, bilik khas dan pejabat, tetapi seluruh kawasan berbilik di sekolah perlu dipastikan adanya pengudaraan yang baik.

“Saranan kepada sekolah (dalam Fasa 4), selain Langkawi ada dua lagi tempat iaitu Labuan dan Negeri Sembilan yang akan memulakan sesi persekolahan (secara bersemuka pada 3 Oktober ini), maka persediaan itu perlu dibuat dengan rapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua langsir atau poster yang digantung di bilik darjah atau bilik khas perlu dialihkan bagi memastikan pengudaraan berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, walaupun sesi persekolahan nanti hanya membabitkan kelas peperiksaan, namun persiapan awal perlu dilakukan sebelum sesi persekolahan secara bersemuka dibenarkan kepada murid daripada kelas lain.

Terdahulu, Radzi mengadakan tinjauan ke 4 buah sekolah di Pulau Tuba, Langkawi bagi melihat persiapan sekolah berkenaan untuk menerima kehadiran murid apabila sesi persekolahan dibuka.

Sekolah yang dilawati adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi, Pulau Tuba; Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak; SK Pulau Tuba dan SK Selat Bagan Nyior.

“Secara umumnya saya lihat sekolah ini bersedia untuk menerima kehadiran murid apabila dibuka kelak,” katanya. – Bernama, 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen