1,071 kes Covid-19 di ICU


Aminah Farid

Seramai 1,071 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke ICU terdiri daripada kes yang disahkan, disyaki dan berkemungkinan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 September 2021.

KEMASUKAN ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat Covid-19 meningkat kepada 1,071 pada tengah hari ini berbanding 1,049 pesakit semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan mengatakan angka itu terdiri daripada kes yang disahkan, disyaki dan berkemungkinan.

Daripada jumlah tersebut, 601 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kes pulih terus melebihi jumlah kes baharu selepas 18,074 pesakit sembuh daripada Covid-19 sementara 14,889 orang disahkan positif.

Sebahagian besar kes baharu hari ini atau 13,688 jangkitan berada dalam kategori 1 (tidak bergejala) atau 2 (bergejala ringan) manakala 211 lagi berada dalam kategori 3, 4, atau 5.

Kementerian Kesihatan juga melaporkan 12 kluster baharu menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini kepada 1,214.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya juga mengesan 475 kes yang melibatkan varian dibimbangi (VOC), di mana 472 adalah kes varian Delta manakala tiga lagi melibatkan varian Beta.

Secara keseluruhan, terdapat 1,840 kes melibatkan VOC dan 20 lagi yang melibatkan varian diwaspadai (VOI).

Dalam pada itu, katanya 1,612 kes melibatkan varian Delta, 214 kes Beta dan 14 kes Alpha manakala 13 kes lain melibatkan varian Theta, varian Kappa (4), dan varian Eta (3). – 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen