KIRA-KIRA 290 guru sekolah di Sabah masih belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan II Mohamad Alamin.
Justeru, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menyeru kepada guru berkenaan supaya segera mendapatkan vaksin, supaya sesi persekolahan kelak berjalan lebih lancar dan selamat.
“Kita minta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menghubungi guru ini dan adakan perbincangan (dapatkan vaksin) kerana mereka perlu divaksin.
“Saya berharap kepada guru ini juga memberi kerjasama dan tampil mendapatkan vaksin demi masa depan anak-anak dan pelajar sekolah, kerana mengikut prosedur operasi standard, guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka, kita tidak mahu berlaku seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan Melawa Telipok di Kota Kinabalu, hari ini.
Mohamad berkata, sekiranya guru berkenaan masih enggan mengikuti arahan, kementerian menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, terdapat 91 PPV di sekolah dibuka di Sabah dan jumlah itu dijangka akan bertambah apabila sekolah dibuka nanti, bagi memudahkan pemberian vaksin kepada pelajar yang layak.
Beliau berkata, setakat semalam kira-kira 162,000 daripada 368,000 pelajar di Sabah menerima suntikan vaksin Covid-19. – Bernama, 25 September, 2021.
Komen