SERAMAI 323,000 individu akan menerima dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 di Terengganu, kata Pengarah Kesihatan negeri Dr Kasemani Embong.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 31,000 adalah petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi.
“Kita akan mulakan pemberian dos ketiga selepas menerima arahan pelaksanaannya di peringkat negeri. Setakat ini, bekalannya juga mencukupi.
“Penerima dos ketiga ini akan mendapat suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program vaksinasi Orang Asli di Kampung Sungai Berua di Kuala Berang, hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, garis panduan mengenai proses agihan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa khas jaminan akses vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan.
Ketika ini panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos itu. – Bernama, 25 September, 2021.
Komen