Politik kita memang Shit


Haris Hauzah

SEMENJAK drama 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang sebelum ini mereka sertai demi menjayakan kerja “mengkhianati demokrasi”, sudah sememangnya kita tahu apa yang sebenarnya mereka mahu.

Namun melihat kepada perkembangan politik negara yang sekali lagi bertukar tampuk kekuasaan, ada hal yang lebih mengujakan – perjanjian antara pembangkang dengan kerajaan. 

Hal ini mengingatkan kita kepada beberapa perenggan dalam novel Shit karya Shahnon Ahmad.

Tulis sasterawan negara: “Para ketulan taik dalam angkatan baru barisan melongo dan menganga mulut menunggu kreativiti dari PM. Mudah saja untuk membangunkan kebusukan campur keseronokan yang spesial, kata PM. Bukankah kita ada lobang keramat berdekatan yang serba canggih mekanismenya?

“Kita sudah buat keputusan untuk tidak mahu keluar melalui lobang keramat itu, bukan? Kita ingin kekal di dalam kawasan perut ini dengan kebusukan kita, bukan? Dan kalau ada ketulan-ketulan yang berkomplot yang ingin mengeluarkan kita dari kawasan perut ini melalui lobang keramat yang canggih mekanismenya itu, kita akan isytihar perang, bukan?

“Kita tidak akan rela dikeluarkan dari perut ini kerana di sini kita akan berkuasa dan akan berbusuk dan sekaligus berseronokan sampai bila-bila, bukan? Kita juga tidak akan mengeluari diri kita melalui lobang keramat itu, bukan?”

Ada lagi yang Shahnon tuliskan. Dia seakan merakam sambil mengingatkan bahawa politik negara ini hanyalah pengulangan helah-helah yang bukan sahaja busuk tapi mencelakakan. 

Andai sesekali kita mendengar kononnya politik mereka progresif dan matang, semua itu sembang. Sebab kesemuanya hanyalah kelicikan memperalatkan mekanisme politik canggih yang diwarisi penjajah tanpa pembaikan dan pembaharuan mengikut zaman.

“Tapi apa salahnya kalau kita perkakaskan lobang keramat yang canggih mekanismenya itu demi untuk memperoleh kebusukan yang spesial dan demi untuk memperolehi selera keseronokan yang lain dari yang lain? 

“Memang kita sudah bersumpah tak akan keluar langsung melalui lobang keramat itu tapi apa salahnya kalau kita buat-buat keluar dan kemudian buat-buat masuk kembali ke dalam kawasan kekuasaan kita? Apa salahnya? 

“Proses keluar-masuk dan masuk-keluar beberapa kali melalui lobang keramat itu sebenarnya satu proses yang tak ada apa-apa keganjilannya tapi melalui proses itulah ni’mat kebusukan menjadi ni’mat yang unik dan makna kebusukan menjadi makna yang unik.”

Walaupun hal MoU itu terpalit dengan ironi yang kuat kerana mendapat tentangan dari blok Dr Mahathir Mohamad, pemeteraian memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan dengan kerajaan itu amat wajar diwaspadai. 

Bukan hanya kerana kejanggalan tindakan PH yang dilihat seakan merelakan pengkhianatan rakyat yang menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada PRU14, akan tetapi atas kecelaruan prinsip dan sikap yang ditunjukkan – kerana politik negara hari ini semakin ditungganglanggangkan oleh penyalahgunaan, pembohongan, perkudaan, kepura-puraan sampai memperkakaskan segalanya dengan sogokan tanpa kawalan.

Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang lahir dari perut perselingkuhan “Gerakan Sheraton” yang mengkhianati hak demokrasi dan suara majoriti rakyat. Juak-juak politikus tak tahu malu ini memang tak pernah mahu menghormati apa yang namanya demokrasi. 

Biar bagaimana mencanak tinggi nada suara mereka menjeritkan demokrasi sekalipun, mereka tetap lebih bernafsu dengan kedudukan, jawatan dan kuasa dari berpegang pada hakikat PRU14. Hal ini boleh dilihat dari budaya pelantikan terpilih sehingga semuanya mahu ditaraf menterikan.

Dari itu bagaimanakah kredibiliti kerajaan sebegini mahu diharap akan merubah, mereformasi dan membawa pembaharuan?

Rakyat sebetulnya dipaksa untuk faham oleh semua pihak yang berada dalam sistem politik negara ini bagi menerima MoU itu sebagai suatu gencatan politik. Tujuannya bagi memastikan apa sahaja usul dan pengundian di parlimen jadi lancar. Sekaligus kestabilan politik dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan dan kedudukan perdana menteri tak digugat.

Kita sedar perpecahan dalam kalangan pembangkang membuatkan PH tidak punya banyak pilihan. Justeru MoU itu berupaya jadi senjata untuk menenggelamkan kompleksiti agenda “No Anwar No DAP” dalam ‘market’ politik Umno, Bersatu dan PAS.

Makanya, selain dapat mengelak daripada berdepan dengan lebih banyak fenomena dipersalah kerana asyik nak merebut kuasa kerajaan, kerelevanan PH dapat diperkukuhkan. 

Memang kelihatan tiada apa yang PH akan rugi, sebaliknya Umno yang terpaksa banyak memikul beban. Bagaimanapun kerapuhan MoU itu serta sifatnya yang sementara dan jauh daripada maksud suatu struktur pembinaan kematangan politik yang sebenar pasti meninggalkan kesan. 

Kerjasama politik demi mensejahterakan hidup rakyat hanyalah sebahagian dari modal politik untuk dijual. Sedangkan di belakang kemunculan kerajaan baru ini terlihat bayang kemunculan semula beberapa individu dari kluster mahkamah yang mahu diselamat dan diberikan jawatan dalam kerajaan.

Kita harus tahu apa yang telah berlaku ini ada kesan jangka panjangnya. Rakyat melihat sendiri betapa orang terhormat seperti ahli parlimen pun memerlukan undang-undang antilompat parti bagi memastikan integriti demokrasi politik negara ini terpelihara.

Rakyat boleh saja diperdayakan dengan permainan politik melalui kecanggihan gerakan agenda Keluarga Malaysia, yang tiada bezanya dengan slogan 1Malaysia. 

Seluruh mekanisme dari ekosistem politik canggih ini digunakan bagi memastikan orang politik akan tetap mendapat tempat, nikmat dan keseronokan berkuasa sebagai kerajaan.

Kekuasaan itu adalah lubang penuh keramat. Sebab itulah yang salah diangkat sebagai benar, yang tertuduh di mahkamah dapat bebas dan yang kalah pilihan raya diterima berkuasa sebagai kerajaan – sebab politik kita memang Shit. – 25 September, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen