Benarkan sektor pameran, acara beroperasi untuk bantu PKS, kata persatuan


Sektor pameran dan acara masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun semakin banyak sektor ekonomi lain dibuka semula. – Gambar AFP, 25 September, 2021.

PERSATUAN Pengusahaan-Pengusahaan Kecil & Sederhana Malaysia (Samenta) mendesak kerajaan membenarkan sektor perniagaan pameran dan acara beroperasi semula.

Pengerusi Samenta Pusat William Ng berkata ini akan membantu ribuan PKS dalam industri itu kembali pulih dengan lebih pantas dalam persekitaran ekonomi yang terjejas teruk disebabkan pandemik.

“Kita perlukan pameran perdagangan dan konvensyen perniagaan dibuka semula, bagi PKS kita kembali dengan pantas ke dalam rantaian bekalan global dan mendapatkan bahan mentah dan peralatan.

“Perolehan internet tidak berkesan seperti pameran perdagangan fizikal dalam mendapatkan pelanggan dan pembekal baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Desakan Ng dibuat selepas sektor peruncitan, makanan dan minuman, pembuatan, pembinaan dan pelancongan dibenarkan beroperasi semula dengan kepelbagaian kapasiti.

“Pengurungan berterusan menyebabkan banyak PKS sudah tidak ada aliran tunai, dan banyak terpaksa membuang pekerja mereka.

“Sekatan beroperasi juga menyebabkan banyak pelanggan global mengugurkan pembekal Malaysia dan memilih pembekal dari pasaran lain,” kata Ng.

Walaupun banyak aktiviti ekonomi sudah beroperasi semula apabila lebih banyak negeri bergerak ke dalam fasa kelonggaran sekatan di bawah Pelan Pemulihan Negara, aktiviti melibatkan khalayak ramai seperti pameran dan acara masih belum dibenarkan beroperasi.

Semalam, sebanyak 14,554 kes baharu Covid-19 dilaporkan.

Menurut laman web CovidNow, pada masa kini terdapat 195,837 kes aktif di Malaysia. – 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen