KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang datang ke pusat pemberian vaksinasi (PPV) bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 mereka, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan berkata menjadi tugas kementerian memberikan vaksinasi kepada semua penduduk di Malaysia.
“Kami tidak menolak sesiapa pun. Kami memberikan vaksin secara percuma kepada rakyat Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang berada di sini tanpa dokumen.
“Dan kami tidak mengambil tindakan terhadap sesiapa pun yang datang ke PPV untuk mendapatkan vaksin,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Khairy berkata demikian susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang petugas kesihatan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa keselamatan jika pendatang tanpa izin datang ke PPV untuk divaksinasi.
Awal hari ini, Persatuan Perubatan Malaysia membantah kenyataan Hamzah, yang berkata ia akan menghalang sasaran negara untuk memvaksinasi semua penduduk.
“Ini pasti akan menjadi penghalang dalam usaha kita untuk memvaksinasi semua masyarakat,” kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai.
The Malaysian Insight juga melaporkan pendatang tanpa dokumen terpaksa mendapatkan suntikan vaksin secara haram kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa.
Mereka bertindak begitu kerana bimbang pihak berkuasa dapat mengesan kehadiran dan keberadaan mereka jika mendaftar di aplikasi MySejahtera, dan akan ditahan apabila datang di pusat vaksinasi rasmi. – 24 September, 2021.
Komen