Tempoh dos ke-2 AstraZeneca kini 6 minggu, kata menteri


Noel Achariam

Individu yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca kini tidak perlu menunggu selama 9 minggu untuk mendapatkan dos kedua. – Gambar EPA, 24 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memendekkan tempoh menunggu bagi mereka yang mendapat dos kedua vaksin AstraZeneca Covid-19 sebanyak tiga minggu, kata Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata untuk mendapat vaksin lengkap, tempoh menunggu antara dos pertama dan kedua kini akan dipendekkan dari sembilan minggu kepada enam minggu.

 “Ini memudahkan mereka yang mendapatkan dos pertama AstraZeneca,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengenai dos ketiga, Khairy berkata keutamaan akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan kesihatan, pesakit terimunokompromi, warga emas mempunyai morbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di kemudahan rawatan jangka panjang.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti pada individu berisiko tinggi untuk dijangkiti, kerana dos kedua tidak mencukupi untuk meningkatkan tindak balas imun.

“Untuk itu, satu panel pakar kesihatan sedang membangunkan garis panduan untuk pelaksanaan suntikan penggalak, yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembekalan Vaksin Covid-19 berikutnya,” kata beliau. – 24 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen