KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memulakan rundingan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan itu berkata sudah memulakan perbincangan dengan sebuah syarikat menghasilkan vaksin dan yang mempunyai data pra-klinikal untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
“Kami sedang berunding untuk mendapatkan vaksin,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Khairy berkata kementerian akan meneruskan program vaksinasi sehingga semua individu yang layak diberi vaksin sebelum akhir tahun ini.
“Berdasarkan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada negara yang mencapai imuniti kelompok.
“Sebenarnya, WHO juga berkata tujuan utama vaksinasi Covid-19 adalah untuk mengurangkan kes dan kematian, dengan imuniti kelompok tidak lagi menjadi keutamaan.”
Oleh itu, beliau berkata mereka mengubah strategi untuk memberikan vaksin sebanyak mungkin penduduk Malaysia, termasuk kumpulan baharu berdasarkan data seperti kanak-kanak dan juga memberikan dosis penggalak untuk kumpulan tertentu.
“Strategi ini sangat penting bagi kita untuk mengawal penularan Covid-19, mengurangkan kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi dan juga mengurangkan kadar kematian sehingga kita dapat memasuki fasa endemik dengan selamat.” – 24 September, 2021.
Komen