SEHARI sebelum hilang, aktivis sosial Perlis Amri Che Mat bernada cemas dan risau, kata sahabat baiknya Abdul Jamil Ahmad dalam sidang siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Kepada ahli panel suruhanjaya itu, Jamil berkata, berdasarkan nada suara sahabatnya, tambahan pula yang Amri kerap meluahkan rasa risau bahawa ahli politik Umno tidak selesa dengan organisasi amal Perlis Hope, membuatkan beliau percaya kerajaan negeri ada memain peranan dalam kehilangan Amri.
“Saya sepatutnya jumpa dia dia Jitra pada 23 November, tapi dia tak datang,” kata Jamil kepada suruhanjaya Suhakam apabila ditanya bila kali terakhir beliau berjumpa Amri.
“Saya cuba telefon dan dia jawab. Bunyi dia macam risau.
“Kemudian saya teruskan perjalanan ke restoran di Jitra, tempat yang kami janji untuk jumpa.
“Dia tak muncul jadi saya pun balik rumah.”
Amri dilaporkan hilang pada 24 November, 2016.
Tambah Jamil, Amri kerap meluahkan kebimbangannya yang politikus Umno tidak suka dengan kerja-kerja yang dilakukan organisasinya iaitu Perlis Hope.
Perlis Hope merupakan badan amal yang membantu penduduk miskin tegar di Perlis.
“Amri cakap mereka tidak suka. Sebab bila Perlis Hope turun padang dan mula bina rumah-rumah, ia menunjukkan orang yang sepatutnya bertanggungjawab dengan kawasan itu tak peduli dengan kawasan itu,” katanya.
Jamil menegaskan yang beliau percaya politikus Umno ada terlibat dalam kehilangan Amri.
“Ada campur tangan politik, dan ada kaitan yang Umno tak suka dengan kerja-kerja Perlis Hope yang menolong orang miskin,” katanya.
Bagaimanapun, Jamil tidak menyebut nama mana-mana politikus.
Pada Isnin lalu, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata beliau percaya pihak berkuasa agama negeri, Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim bertanggungjawab atas kehilangan suaminya.
“Jabatan Mufti Negeri Perlis mengecam aktiviti Perlis Hope membantu golongan miskin. Shahidan juga mengecam Perlis Hope di Facebooknya.
“Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) juga memberi amaran kepada rakyat supaya berhati-hati mengenai aktiviti Perlis Hope yang berkaitan dengan keganasan,” kata Norhayati yang menjadi orang pertama memberi keterangan pada sesi pedengaran Suhakam.
Dalam pada itu Jamil mengakui beliau penyokong tegar Perlis Hope selain menambah yang organisasi itu “buat kerja yang baik dengan bagi nasi dan beras kepada orang miskin tegar.”
“Tidak ada aktiviti keagamaan atau percubaan untuk menarik orang masuk Islam,” jawab Jamil apabila ditanya adakah organisasi itu terlibat dengan aktiviti lain selain hal kebajikan.
Panel Suhakam kali ini bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Amri adalah kes yang berkait dengan campur tangan kerajaan.
Selain Amri, tiga orang hilang lain ialah Pastor Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth. – 24 Januari, 2018.
Komen