KES baharu Covid-19 hari ini kembali berada dalam lingkungan 14,000 dengan 14,554 jangkitan baharu, selain Sarawak mencatat kes tertinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Semalam, jumlah jangkitan harian menurun kepada 13,754, paling rendah dilaporkan sejak 22 Julai, ketika itu sebanyak 13,034 kes dicatatkan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dilaporkan di Malaysia setakat tengah hari ini kepada 2,171,232.
Selangor dan Sarawak, yang melaporkan 1,985 dan 1,766 kes semalam, melaporkan lebih 2,000 kes hari ini.
Sarawak paling tinggi dengan 2,825 kes diikuti Selangor dengan 2,244.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Sabah (1,273), Johor (1,807), Kuala Lumpur (271), Kedah (908), Pulau Pinang (1,231), Kelantan (910) Perak (1,144), Negeri Sembilan (157), Pahang (598), Melaka (401), Terengganu (690), Putrajaya (30) dan Perlis (65).
Labuan melaporkan sifar jangkitan.
Dalam pada itu, lebih 19.18 juta orang atau 58.7% keseluruhan penduduk dan 81.8% populasi dewasa di Malaysia telah lengkap divaksinasi terhadap Covid-19 dengan vaksin dos tunggal atau dua dos.
Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) seramai 22.48 juta atau 93.5% populasi dewasa dan 68.8% populasi umum telah menerima satu suntikan vaksin dua dos. – 24 September, 2021.
Komen