CUMA 116 kematian Covid-119 dilaporkan semalam, turun ketara berbanding 487 maut dilaporkan sehari sebelum dan juga sepanjang minggu ini yang menyaksikan jumlah kematian harian dilaporkan melebihi 300.
Menurut data Git.hub Kementerian Kesihatan, hanya satu kematian sebenar semalam, daripada 116 kematian dilaporkan.
Selebihnya adalah kematian tertunggak yang belum dilaporkan sebelum ini. Selain itu, 29 kes adalah kematian di luar hospital.
Ini menjadikan angka kematian angkara Covid-19 yang terkumpul kini berjumlah 24,681.
Angka maut harian adalah jumlah keseluruhan jumlah kematian yang berlaku pada hari itu serta laporan kematian tertunggak, atau kematian yang baharu sahaja disahkan pihak berkuasa kesihatan kerana Covid-19 selepas siasatan klinikal.
Sejajar dengan penurunan, jumlah kematian harian Selangor turun lebih 80% kepada 33 orang berbanding 178 pada hari sebelumnya. 12 daripada 33 kematian adalah di luar hospital.

Negeri dan wilayah persekutuan lain yang melaporkan kematian baharu ialah, Kelantan (10), Pulau Pinang (20), Sabah (8), Perak (6), Kuala Lumpur (17), Sarawak (14), Kedah (1) dan Melaka (7).
Bagi Perak, hanya satu daripada enam kematiannya yang dilaporkan berlaku pada hari-hari sebelum ini, sementara lima yang lain adalah yang tertunggak.
Tiada kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perlis, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
Purata maut negara adalah 5.9 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, di mana Pulau Pinang paling tinggi dengan 15.6 kematian setiap 100,000.
Purata tujuh hari bagi kematian sebenar adalah 92 kes.
Sementara itu, 13,754 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kepada 2,156,678.
Menurut CovidNow, pada masa ini terdapat 198,284 kes aktif di negara ini, dengan 165,421 pesakit atau 83.4% dikenakan kuarantin rumah, manakala 21,350 (10.8%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 10,396 (5.2%) di hospital.
Dari kes aktif 1,117 di Unit Rawatan Rapi, di mana 615 memerlukan alat bantuan pernafasan. – 24 September, 2021.
Komen