PUTRAJAYA perlu mendedahkan laporan akhir syor Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dan perubahan yang boleh dilakukan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata badan pemantau pilihan raya dan penganalisis.
Mereka berkata amat penting untuk masyarakat mengetahui tentang 49 syor itu yang dikemukakan ERC bagi membolehkan sistem pilihan raya lebih telus diwujudkan.
Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata tidak ada sebab kenapa laporan akhir ERC itu tidak boleh didedahkan kerana ia hanya syor untuk menambah baik sistem dan proses pilihan raya negara.
“Mendedahkannya akan membolehkan orang ramai mengadakan perbincangan lebih mendalam untuk mendapatkan pandangan dan idea.
“Kami gesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan laporan ERC itu secara keseluruhan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Fann berkata walaupun mereka tidak menjangkakan kerajaan akan mengguna pakai semua 49 syor itu, mereka harap pentadbiran negara akan melaksanakan syor yang boleh dibuat tanpa banyak pindaan terhadap undang-undang sedia ada.
“Memaklumkan kepada orang ramai kesanggupan kerajaan untuk mengguna pakai sebahagian daripada syor itu akan memberi jaminan kepada pengundi tentang komitmen mereka dalam pilihan raya.”
Pada Ogos tahun lalu, Pengerusi ERC Ab Rashid Ab Rahman menyerahkan 49 syor dalam laporan mereka kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata ERC tidak menetapkan tempoh untuk kerajaan melaksanakan syor itu, tetapi 32 daripada cadangan berkenaan boleh dilakukan dalam tempoh tiga tahun dan selebihnya dalam 10 tahun.
Salah satu syor ialah mengasingkan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada tiga badan untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap suruhanjaya itu.
SPR akan kekal sebagai badan utama dalam menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, sekretariat pilihan raya akan mengendalikan proses pilihan raya sementara suruhanjaya untuk persempadanan semula akan bertanggungjawab mentadbir perkara tertentu berkaitan pelaksanaan persempadanan semula.
Syor lain ialah tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri ditetapkan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal dan mengguna pakai dasar seorang calon hanya bertanding untuk satu kerusi.
Fann berkata sekurang-kurangnya dua syor boleh digabungkan, iaitu undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi (AVR).
“Satu lagi syor yang perlu dipertimbangkan ialah menetapkan tarikh pilihan raya sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh sebenar.” – 24 September, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen