1 lokaliti di Sabah, 2 di Pahang kena PKPD, kata MKN


Tiga lokaliti dengan masing-masing satu di Sabah dan dua di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 25 September hingga 8 Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

TIGA lokaliti dengan masing-masing satu di Sabah dan dua di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 25 September hingga 8 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Rodzi Md Saad berkata PKPD di Sabah melibatkan Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud manakala di Pahang membabitkan Kampung Telimau, Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands dan PASDEC Damansara, Kuantan.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Menurut Rodzi, keputusan PKPD dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

Sementara itu, PKPD di 13 lokaliti di Sabah, Terengganu dan Pahang akan ditamatkan esok mengikut jadual.

Di Sabah melibatkan lima lokaliti iaitu Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman di Ranau; Sekolah Henry Gurney, Keningau; Taman Sungai Labuk, Beluran serta Kampung Timug, Matunggong, Kudat.

Bagi Terengganu membabitkan tujuh kawasan di Paka iaitu  Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas, serta satu lokaliti di Lipis, Pahang iaitu Kampung Kuala Koyan, Mukim Ulu Jelai. – Bernama, 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen