Waran tangkap? Semoga berjaya, kata editor Sarawak Report


Ragananthini Vethasalam

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown hari ini mengganggap waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh mahkamah Terengganu sebagai pelanggaran prosedur kerana dia tidak diberitahu mengenai tuduhan dan perbicaraan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

EDITOR Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown hari ini mengganggap waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh mahkamah Terengganu sebagai pelanggaran prosedur kerana dia tidak diberitahu mengenai tuduhan dan perbicaraan.

Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Clare Rewcastle-Brown kerana gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

“Saya tidak diberitahu mengenai tuduhan atau tarikh perbicaraan walaupun pihak berkuasa tahu bagaimana mahu menghubungi saya kerana saya sudah menerima amaran pertuduhan akan dikeluarkan beberapa minggu lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, dia juga sudah menjelaskan tidak berada di Malaysia ketika ini dan tidak akan berada di negara ini pada masa akan datang.

“Jelas sekali ini adalah pelanggaran prosesur untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap saya. Saya juga tidak diberitahu tentang perbicaraan kerana saya tidak diberi notis.

“Saya berharap hakim berjaya meneruskan kes untuk mengekstradisi saya dari UK bagi berdepan tuduhan asing atas jenayah yang tidak ada di negara saya sendiri,” katanya.

Menurut laporan, Rewcastle-Brown sepatutnya hadir di mahkamah hari ini bagi berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku “The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Saman itu difailkan oleh Sultanah Nur Zahirah pada 21 November 2018.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November, 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Waran itu dikeluarkan oleh majistret Nordiana Abd Aziz selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh, yang berumur 62 tahun itu.

Mahkamah menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes. – 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen